• Rashidah Ibrahim

15 Minit di Gardens By The Bay, Singapura, Sungguh Teruja!


Terkilan! Betapa tidak, lawatan sepatutnya mengambil masa seharian tetapi kami hanya sempat masuk 5 minit. Turun daripada bas, kami masuk ke kawasan Gardens by the Bay di Marina Bay, Singapura dalam keadaan tergesa-gesa.

Berjalan pantas mengejar masa yang diberi sehingga tidak dapat menghayati keindahan lanskap yang luas terbentang. Dengan waktu lawatan yang suntuk, mata melilau tanpa arah tumpuan.

Segala-galanya dilihat sekali lalu, ibarat sepantas kilat!“Kalian semua boleh masuk dan mesti kembali dalam masa kira-kira 15 minit. Jangan lewat!” Pesan penganjur lawatan agar kami tidak terlepas waktu untuk penerbangan pulang. Kami sebenarnya sedang dalam perjalanan ke lapangan terbang di Changi, tetapi dibawa singgah di situ sebentar untuk memenuhi janji penganjur sebelumnya.


Sekumpulan wakil media daripada Kuala Lumpur, Indonesia dan Vietnam berada di Singapura selama dua hari pada 1 dan 2 November 2012, bagi memenuhi undangan Akzonobel ke Majlis Pelancaran ColourfuturesTm 2013 untuk rantau Asia Tenggara. Media dari Indonesia dan Vietnam bernasib baik kerana dapat berlama di situ disebabkan waktu penerbangan pulang mereka lebih lewat. Masa yang singkat menyebabkan kami hanya dibawa ke kawasan Flower Dome dan Cloud Forest.


Dalam kekalutan memikirkan masa lawatan yang suntuk, saya hampir tidak masuk. Dua kawan rapat iaitu wakil daripada Berita Harian, Bennie Zie Fauzi dan Harian Metro, Hartini Mohd Nawi bersepakat mahu menunggu di luar. Mereka ingin mengambil kesempatan membeli di kedai cenderamata yang terletak di luar pintu masuk.

“Tempat ni luas. Kalau kita masuk sebentar, rugilah tiket. Tak boleh diguna lagi. Baik datang semula sebab tempoh luput tiket sebulan lagi,” kata Bennie Zie. Hati saya berbelah-bahagi. Kawan-kawan lain sudah jauh ke depan, sudah bersedia untuk masuk. Saya perlu membuat keputusan segera. Masuk atau tidak? Kalau tidak masuk sekarang, entah bila dapat datang lagi, bisik hati. Akhirnya, saya membuat keputusan untuk masuk! Berikutan itu, terpaksalah berpisah dengan dua regu kamcing itu seketika dan berjalan bersama-sama rakan media lain.


Bertukar `teman berjalan`, saya kemudian bersama-sama wartawan media elektronik, daripada Astro Awani dan TV3. Kami pantas melangkah mengikut arah jalan sehala. Antara dua pilihan tempat yang kami boleh masuk ialah Flower Dome dan Cloud Forest. Mana yang dekat, itulah yang dimasuki dulu. Sampai ke bangunan Flower Dome, kami tidak berfikir panjang lantas menghulurkan tiket yang diberikan percuma tajaan Akzonobel dan melangkah ke dalam. Ia adalah bangunan dom besar berdinding kaca lut sinar, dilaporkan sebagai bangunan hijau tanpa tiang paling besar di dunia, berangka keluli bereka bentuk bujur seperti telur.

Berdindingkan sejumlah 3,332 panel kaca lut sinar pelbagai ukuran yang dilekatkan pada rangka keluli, bangunan itu berketinggian 38 meter, meneduhi keseluruhan lanskap di bawahnya. Panel kaca yang sama membentuk bumbung yang dibentuk bersekali dinding. Dengan menggunakan kaca lut sinar sebagai pelindung, seluruh ruang dalaman yang bertutup itu tampil cerah semula jadi. Pancaran matahari bebas masuk daripada semua permukaan bangunan dengan kawalan suhu 23 hingga 25 darjah C dan kelembapan 60 hingga 80 peratus, menjadikan suasana dalaman tidak panas dan selesa, bahkan dingin lagi nyaman!


Dalam masa singkat, tidak sempat untuk membaca nota penerangan mengenai jenis pokok yang tertera di sana sini. Apa yang sempat kami lakukan ialah berposing berlatarkan sudut tertentu taman. Dalam saat begitu, gambar kenangan lebih penting daripada segalanya!

Sewaktu berjalan, ternampak pergola sarat ditumbuhi pokok jenis menjalar, kami pantas berposing bertiga. Mujurlah ada jurukamera TV Astro Awani, Sallehin Hussain yang tidak letih melayan kerenah kami yang gila bergambar.

Berjumpa dengan tempat duduk daripada kayu kering, kami segera berposing lagi. Ternampak bunga raya besar yang kembang mekar, seorang daripada kami lantas mencapai bunga berkenaan dan menarik ke sisi pipi sambil mengukir senyuman, bersedia untuk dirakamkan gambar.


Pokok yang terpamer disusun dalam gaya kemas dan menarik. Terdapat juga unsur yang biasa ada di kebun seperti orang-orang (patung penghalau burung), tunggul kayu dan sebagainya ditempatkan bagi melengkapi gaya kebun sebenar,

Pokok yang terpamer disusun dalam gaya kemas dan menarik. Terdapat juga unsur yang biasa ada di kebun seperti orang-orang (patung penghalau burung), tunggul kayu dan sebagainya ditempatkan bagi melengkapi gaya kebun sebenar,

Lain yang menarik adalah Succulent Garden Seascape, Taman Laut, Baobabs, Bottle Trees dan Kapok. Selesai berjalan hampir satu pusingan, sampai pula ke bangunan Cloud Forest, tetapi kami sekadar melewatinya kerana tidak sempat masuk. Dengan rasa terkilan, kami terus berjalan menuju ke pintu keluar, meninggalkan pemandangan taman gaya alam semulajadi yang melekat dalam ingatan.

Uniknya bangunan dom itu mengekalkan suhu sejuk kering dan sub tropika yang disesuaikan dengan pertumbuhan jenis pokok yang ditanam.


Terdapat pelbagai jenis pokok tinggi dan renek, sesetengahnya berbunga mekar mewujudkan pemandangan padang berwarna oleh aneka bunga daripada pokok Mediterranean, sub tropika, Barat Daya Australia, Afrika Selatan, Chile Tengah dan Carlifornia.

Hakikatnya tarikan destinasi pelancongan, Gardens by the Bay di kawasan seluas 101 hektar itu terserlah menerusi penampilan reka bentuk bangunan dom berkenaan yang menggamit pandangan daripada jauh. Sesampai di kawasan itu, disambut oleh pandangan menara pokok, Supertree Grove sebagai tarikan pengenalan.

Terdapat 12 menara pokok berkenaan dengan ketinggian 25 hingga 50 meter, yang dikatakan boleh disamakan dengan ukuran ketinggan bangunan 16 tingkat.

Keterujaan tercetus sebaik memandang binaan pokok berkenaan yang dikatakan boleh disewa untuk mengadakan majlis tertentu di pucaknya. Pada sebelah malam, ranting Supertree Grove mengeluarkan cahaya berwarna silih berganti, sekali gus mewujudkan suasana gilang gemilang.

Bergambar berlatarkan menara pokok itu adalah satu kemestian bagi semua pengunjung di situ. Menawarkan pelbagai lagi tumpuan tarikan, di situ juga menempatkan Taman Warisan, Dragonfly & Kingfisher Lake dan World of Plants.


Memetik satu laporan, Gardens by the Bay rekaan Wilkinson Eyre, Grant Associates, Atelier One dan Atelier Ten memenangi World Building of The Year Award di World Architecture Festival (WAF) Awards 2012, kerana keunikan dan kehebatan reka bentuknya.

Gardens by the Bay seluas 101 hektar itu menghimpun 250,000 tumbuhan jarang dilihat, adalah projek merangkumi tiga taman waterfront iaitu Bay South, Bay East dan Bay Central.

Terletak di kawasan tengah Bay South Garden, kompleks Cooled Conservatory menyediakan tarikan lanskap taman semua musim iaitu jenis Cool Dry Conservatory di Flower Dome, seluas 1.28 hektar dan jenis Cool Moist Conservatory di Cloud Forest, 0.73 hektar, yang masing-masing menawarkan karakter tersendiri.

#singapore

© 2017 Riaseri. Registration on or use of this site constitutes acceptance of our Terms of Service and Privacy Policy. Email us at myriaseri@gmail.com for any enquiries. Kuala Lumpur, Malaysia. 

  • White Facebook Icon
  • White Twitter Icon
  • White Instagram Icon

Ikut kami di: