• Rashidah Ibrahim

5 Faktor Buat Anda Teruja Menginap di Aseania Resort & Spa, Langkawi.



MENCARI damai di Langkawi. Inginkan penginapan selesa sewaktu bercuti di Pulau Lagenda, Mahsuri, ingat pada resort yang satu ini. Terletak di Pantai Cenang, ia berbeza dengan yang lain dari segi persekitarannya. Ada 5 faktor buat anda teruja apabila menginap di Aseana Resort & Spa Langkawi.

Lima perkara membuat saya terkenangkannya. Pertama, kolam mandi sepanjang bangunan dan kedua, landskap tamannya. Dibina berkonsepkan taman tema air mini, kolam sedia ada ditambah ukuran sehingga 154.4 meter, sehingga mendapat pengiktirafan Malaysian Book of Record sebagai kolam terpanjang di Malaysia.


Taman air mini itu menawarkan kolam berombak, air terjun, jakuzi, sundeck, lazy river dan gelongsor. Ini tentunya menjadi kesukaan bagi mereka yang gemarkan kegiatan air. Bagi yang hobinya bermain air, berenanglah di situ sepuas-puasnya untuk menghilangkan stres atau mengurangkan lemak tubuh.


Kedua, istimewanya dari balkoni, menghadap pemandangan kolam biru syahdu di belakang. Panorama ini juga faktor buat saya jatuh hati sewaktu menginap tiga hari dua malam di Aseania Resort & Spa Langkawi beberapa tahun lalu.

Terima kasih Anita Entertainment and Production, yang membawa kami ke sana. Biarpun kunjungan pada 2015, kenangan itu tetap segar di ingatan. Terutama teringat kepada pelbagai hidangan yang disajikan oleh resort berkenaan.

Di hujung kolam sebelah kanan, gah tersergam air terjun buatan yang tinggi dan lebar. Air deras mengalir menuruni tembok batu tegak yang sengaja dibina untuk melengkapi landskap tema air.

Dari situ terdapat butik Sari Dewi Spa, disediakan untuk mereka yang gemar memanjakan diri. Pelanggan boleh mendapatkan khidmat urutan dan facial di sini untuk meremajakan tubuh. Kemudahan ini ialah faktor ketiga kelebihannya.

Keempat, landskap comel dibentuk mengiringi kehadiran Sari Dewi Spa, satu lagi mercu tanda resort, yang terserlah keindahannya dengan binaan pondok dan arca air terjun.5 faktor buat anda teruja apabila menginap di Aseania Resort & Spa Langkawi.

Bangunan utama resort terletak di kawasan tersendiri seluas 3 hektar (7.519 ekar). Dari fasad hadapan, keadaannya memanjang selari jalan utama, menggamit pandangan menerusi reka bentuk binaannya.

Sekali imbas, seni binaannya seakan bangunan Sultan Abdul Samad, di Kuala Lumpur. Persamaan diperlihatkan menerusi deretan tiang bulat dan gerbang melengkung yang diserikan tiang kekisi balkoni di sepanjang bangunan.

Kelima adalah ada pilihan bilik yang luas. Sewaktu di situ, kami diberikan bilik yang luas dan lapang dengan dua katil kelamin. Tilam yang tebal dan gebu ternyata memberi kepuasan kepada tetamu bermalam.

Dia atas tadi, 5 faktor buat anda teruja menginap di Aseania Resort & Spa Langkawi.

Terdapat lebih 217 bilik penginapan untuk ditempah oleh pelanggan, meliputi jenis Superior, Deluxe dan Super Deluxe, Family Suit sebilik, dua bilik dan tiga bilik yang diberikan penataan gaya semasa. Bilik penginapan tentunya berhawa dingin dan dilengkapi bar mini, selain terdapat kemudahan membuat minuman dan tv satelit.



Semua aktiviti utama terutama kegiatan makan dan persembahan berpusat di halaman belakang. Dari lobi, tetamu perlu berjalan menuruni tangga untuk ke restoran yang searas dengan perkarangan kolam.

Kami dibawa melawat ke sekitar resort oleh pihak pengurusan. Berjalan dari hujung ke hujung bangunan, terasa betapa panjangnya kawasan Aseania Resort & Spa.

Di sisi kolam, terdapat pentas persembahan dibina khas daripada kayu reka bentuk bercirikan bangunan tradisional Melayu. Keadaannya terbuka di bahagian hadapan dan berbumbung di belakang sebagai unsur hiasan kejur yang melengkapi landskap. Tidak dinafikan kehadirannya melengkapkan tarikan persekitaran, selain diguna hampir setiap hari menerusi program yang dirancang.

Pengujung boleh memilih untuk makan di restoran atau bar, iaitu Restoran Laguna, Pool Bar dan Pool Side Terrace. Hidangan tempatan dan antarabangsa disediakan di Laguna Coffee House.


Mercu tanda “Aseania” dalam potongan abjad berwarna putih sayup tertera di puncak bukit, berlatarkan kehijauan rimba yang sejuk mata memandang. Biarpun kedudukan huruf itu tinggi dan jauh di hutan bukit, namun ejaannya terserlah dari jalan utama.

Aseania Resort & Spa bukan hanya tempat untuk bersantai, bahkan turut menyediakan segala kemudahan yang diperlukan seperti dewan mesyuarat, seminar dan sebagainya.


Terletak sekitar 6.5 km dari Lapangan Terbang Langkawi, lebih mudah untuk anda sampai ke situ kerana memandu mengambil masa 15 minit sahaja, sementera dengan banar Kuah, 20 minit.

Sewaktu kunjungan pada 2015, resort itu dalam proses menaik taraf kepada lima bintang dengan mengadakan pengubahsuaian membabit bilik penginapan dan restoran. Ini bertujuan untuk memberi keselesaan yang sewajarnya kepada pelanggan, agar berbaloi dengan apa yang mereka belanjakan.


#AseanaResortampSpaLangkawi #TempatmenginapdiLangkawi #ResortdanhotelbagusdiLangkawi #PenginapandiPulauLangkawi

© 2017 Riaseri. Registration on or use of this site constitutes acceptance of our Terms of Service and Privacy Policy. Email us at myriaseri@gmail.com for any enquiries. Kuala Lumpur, Malaysia. 

  • White Facebook Icon
  • White Twitter Icon
  • White Instagram Icon

Ikut kami di: