• Rashidah Ibrahim

Aksklepion, Kompleks Rumah Sakit Zaman Kuno di Turki.



Susah sangat hendak disebut.


"Asklepion," balas Syafiq pengurus trip ke Turki apabila ditanya mengenai tempat dalam gambar yang ditunjukkan kepadanya.


Mulanya disangkakan Ephesus. Keduanya hampir sama, iaitu kawasan runtuhan tinggalan bangunan zaman silam. Asklepion adalah kompleks rumah sakit yang terletak di Pergamon atau Bergama, Arcopolis Turki.


Pergamon adalah bandar Yunani purba yang kaya dan berkuasa di Aeolis. Ia terletak 26 kilometer (16 mi) dari pesisir Laut Aegean moden di atas tebing di sebelah utara sungai Caicus (moden Bakırçay) dan barat laut kota moden Bergama, Turki.

Semasa zaman Helenistik, Pergamon menjadi ibu kota Kerajaan Pergamon di bawah dinasti Attalid pada 281-133 SM, yang mengubahnya menjadi salah satu pusat budaya utama dunia Yunani (Greek). Banyak kesan monumen yang hebat masih dapat dilihat terutama karya sulung Pergamon Altar.


ACROPOLIS


Acropolis pula bermaksud "Upper Town" kini mengandungi sisa runtuhan utama dan terpenting Pergamon. Akropolis yang sebahagian besarnya di atas bukit adalah salah satu karya unik daripada penempatan silam sebagai kota terpinggir akibat kekurangan dataran tinggi semula jadi.


Tempat-tempat, di mana kuil-kuil, istana, perpustakaan, teater dan lain-lain bangunan yang diperlukan telah dibina, di teres besar dari permulaan penempatan terawal. Untuk melawat bandar Acropolis kuno, boleh menggunakan kereta kabel dari stesen di sebelah timur Bukit.

Menaiki kereta kabel mengambil masa kira-kira 15 minit, diiringi pemandangan indah Bergama. Acropolis atau Upper Town meliputi bahagian tertinggi dan terlindung menempatkan istana raja, kuil, takungan air, telaga dan tangki serta pancuran milik keluarga diraja dan bangsawan. Dinding kota yang dibina semasa pemerintahan Eumenes II kini masih elok.


Tapak itu mengandungi;

* kuil Trajan, Zeus Altar yang dikenali kerusi Syaitan oleh penganut terawal (tempat ibadat terbesar istana kuil Athena)

* perpustakaan Pergamon yang ketika itu mengandungi 200,000 buku zaman kuno

* istana raja-raja

* teater paling canggih di dunia dengan 10,000 tempat duduk menghadap ke Asklepium di mana hero atau orang kuat dikebumikan. Ia adalah lokasi pentadbiran kerajaan Pergamene.



ASKLEPION


Asklepion (istilah zaman Yunani kuno) bermaksud tempat ibadat atau kuil, dibina buat tuhan penyembuhan dikenali Asklepios, sekali gus sebagai pusat rawatan@rumah sakit@hospital.


Premis sejarah Yunani kuno di Bergama, Turki ini boleh dikunjungi melalui perjalanan darat sekitar 7-8 jam dari Istanbul.


Rombongan kembara di Turki biasanya memasukkan kunjungan ke Asklepion pada hari ke-tiga, turutan kepada kunjungan ke beberapa kawasan sejarah lain di Istanbul dan Bursa. Namun bukan semua kumpulan pelancong mengambil peluang singgah di Asklepion. Kerana dari Bursa, rombongan kembara biasanya memilih untuk terus menuju Kusadasi dan Ephesus yang lebih kaya dengan unsur pelancongan juga cukup mengagumkan.

Kumpulan kami bagaimanapun beruntung dibawa melawat ke sini Asklepion.


Asklepion yang dibangunkan sekitar abad ke-3 Sebelum Masehi (SM) seharusnya tidak dilepaskan untuk dikunjungi oleh pelancong. Anda dapat melihat sisa runtuhan bangunan rumah sakit masyarakat Yunani kuno.


Difahamkan pada masa dahulu, bukan sembarang orang boleh masuk ke dalam Asklepion kerana kerajaan menetapkan ia untuk menerima kalangan orang penting sahaja. Dan hanya pesakit ringan diterima untuk diubati, selalunya di kalangan mereka yang mengalami gangguan jiwa. Sementra mereka yang benar benar sakit seperti ibu hamil yang hendak melahirkan tidak dibenarkan masuk.


Di dalam kompleks Asklepion ini terdapat binaan batu marmar mengandungi ruang-ruang untuk untuk merawat pesakit.  Ruangan tersebut memiliki lubang pengudaraan besar di bahagian atasnya, manakala di bawah terdapat saluran kecil yang mengalirkan air jernih.


Kononnya saat rawatan, tabib menyembuhkan pesakit dengan mengalunkan lagu untuk membangkitkan semangat hidup. Pesakit dibawa melihat persembahan di dalam sebuah teater besar dalam kompleks itu. Persembahan drama dan musik sebagai hiburan untuk mengembirakan mereka dan menjadi sihat.


Di dalam kompleks itu juga ada sisa runtuhan bangunan tempat pembuatan ubat herba. Disebabkan rumah sakit ini bukan dihuni pesakit teruk, maka bilik mayat tidak disediakan sebagaian lazimnya.


Rombongan kami hanya sekitar 2 jam di Asklepieion. Kunjungan ke lokasi ini memberi kami pengetahuan mengenai kekayaan sejarah dan budaya bangsa Yunan Turki saat itu.



KISAH MITOS KUNO


Menurut mitos kuno, tuhan Asklepios mempunyai kuasa untuk membangkitkan kehidupan dari orang mati dan dia sendiri telah dikembalikan kepada kehidupan oleh Zeus: oleh sebab itu dia dianggap memiliki bentuk ular. Ular jin telah disimpan di kuil-kuilnya kerana reptilia ini dianggap simbol regenerasi, disebabkan oleh pertumbuhan semula kulit mereka.


Difahamkan pesakit mendekati kuil penyembuhan melalui Jalan Suci, laluan yang memulakan perjalanan ke arah kesihatan yang baik. Ada satu laluan bawah tanah, pesakit dikehendaki turun selangkah ke dalam terowong yang terdapat bilik-bilik di kedua-dua belah laluan itu. Pesakit perlu bermalam di sana. Pagi esoknya, mereka akan memberitahu mimpi yang dialami kepada para imam@doktor untuk diagnosis penyakit.


Para pesakit kemudian naik ke kuil, yang mempunyai bentuk bulat dan berarak mengelilinginya. Di situ juga terdapat tab individu untuk mandi membersihkan diri.


Rawatan kepada pesakit termasuk psikoterapi, urutan, ubat-ubatan herba, rawatan lumpur, mandi, pembedahan dan minum yang dilakukan berdasar mimpi pesakit. Mimpi itu digambarkan sebagai kunjungan tuhan Asklepios, pemegang kunci untuk menyembuhkan semua penyakit.


0 views

© 2017 Riaseri. Registration on or use of this site constitutes acceptance of our Terms of Service and Privacy Policy. Email us at myriaseri@gmail.com for any enquiries. Kuala Lumpur, Malaysia. 

  • White Facebook Icon
  • White Twitter Icon
  • White Instagram Icon

Ikut kami di: