• Rashidah Ibrahim

Apakah Yang Menarik di Kashmir?



Pabila disebut India, satu-satunya tempat mahu saya kunjungi hanyalah, Taj Mahal di Agra, Delhi. Namun apabila pakej percutian yang ditempah memasukkan Kashmir sebagai tempat untuk dilawati, saya menerimanya. Apatah lagi apabila diberitahu kawasan itu berbeza dengan penempatan lain di India dan sangat menarik untuk dikunjungi.

Menjelang beberapa bulan sebelum tarikh berangkat, tersiar berita Kashmir dilanda kekacauan, menyebabkan pengurusan pakej mengalihkan jadual lawatan ke kawasan tanah tinggi, Simla, India. Risau juga mendengar berita mengatakan Kashmir tidak sesuai dikunjungi kerana situasi pergolakan.

Latar belakang

Kashmir adalah sebuah wilayah kecil di barat laut benua kecil India. Terletak antara Banjaran Himalaya dan Banjaran Pir Panjal di kawasan paling utara negara India. Dilaporkan berasal dari sebuah lembah air, namanya daripada dua perkataan, `Ka` membawa maksud air manakala `Shimir` bererti yang dikeringkan justeru, Kashmir membawa maksud lembah yang dikeringkan airnya.

Wilayah pelancongan yang mempunyai tarikan tersendiri, Kashmir menjadi rebutan disebabkan kelebihan yang ada padanya, sehingga ia terpecah bawah tiga pentadbiran. Wilayah Kashmir meliputi Jammu dan Kashmir serta Ladakh ditadbir India. Kawasan Utara dan Azad Kashmir dikuasai Pakistan sementara rantau Aksai Chin dan Laluan Trans-Karakoram ditadbir China. Namun India mahupun Pakistan tidak pernah mengiktiraf pemilikan kawasan antara satu sama lain dan saling berebut.


India mendakwa kawasan diserahkan Pakistan kepada China pada 1963, iaitu Laluan Trans-Karakoram sebahagian daripada wilayahnya, manakala Pakistan menuntut keseluruhan Kashmir kecuali Aksai Chin dan Laluan Trans-Karakoram.

Apa pun penduduk Kashmir kekal menghuni daerah masing-masing menjalani kegiatan pertanian dan perniagaan kecuali yang tinggal di kawasan sempadan yang bergolak teruk, ada yang terpaksa berpindah.

Sumber ekonomi utama di wilayah Kashmir adalah pelancongan. Rata-rata rakyatnya fasih berbahasa Inggeris, memudahkan komunikasi dengan pelancong asing. Maka urusan jual beli juga mudah.

Kelebihan Kashmir

Menurut Pemandu Pelancong yang memperkenalkan dirinya sebagai Farouk, tiga kelebihan yang membuat India mahupun Pakistan enggan melepaskan wilayah itu adalah industri pelancongannya, muka bumi yang subur untuk kegiatan pertanian dan sumber janakuasa elektrik yang berpusat di situ.

Anutan Islam, makanan halal yang mudah didapati dan tarikan rupa paras penduduknya yang berkulit putih serta keistimewaan alam semula jadinya membuat rakan pakej percutian, Norizan Shamsuddin teringin sangat ke Kashmir.


Namun majoriti peserta cuak dengan berita pergolakan yang berlaku di Kashmir dan ingin membatalkan tempahan perjalanan. Disebabkan pihak pengurusan berkata, duit tidak dapat dikembalikan kerana tiket penerbangan sudah dibeli, maka mereka terpaksa mengikut sahaja jadual yang ditentukan.

Kami bernasib baik menjelang tarikh pemergian, kekacauan di Kashmir reda dan jadual perjalanan dari 26 November hingga 3 Disember (2016) kembali kepada asal, dimulai lawatan Kashmir, diikuti Delhi dan Agra.

Sehari sebelum berlepas, perasaan cuak kembali membuak apabila agen memberitahu tujuh daripada 20 peserta terpaksa dipisahkan, dikehendaki menaiki pesawat Singapore Airlines, pada waktu lebih awal, iaitu jam 2 petang, sedangkan perancangan awal kesemua menaiki Malindo 6 petang.

Turun awal untuk menaiki Singapore Airlines di KLIA tetapi dalam perjalanan mendapat panggilan diberitahu, semua peserta boleh pula menaiki penerbangan Malindo jam 6 petang. Menyebabkan hati tertanya-tanya kenapa perancangan berubah-ubah, lantas terfikirkan kemungkinan lain selepas itu.

Turun awal dari rumah, namun perjalanan ke lapangan terbang memberi satu kejutan pula apabila kereta dinaiki terlepas simpang ke KLIA. Makanya, terus ke Nilai mencari pusingan U.


Urusan pendaftaran di kaunter berjalan lancar, penerbangan bermula jam 6.30 petang dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Delhi pada sore. Perbezaan waktu Malaysia dengan Delhi adalah dua jam lewat.

Kami menunggu lama selepas keluar daripada kaunter imigresen, akhirnya diberitahu seorang peserta wanita tidak dibenar masuk kerana dokumen visa tidak sempurna. Dia ditahan di lapangan terbang, menunggu esok degan harapan, dapat membuat rayuan pada waktu pejabat. Sementara itu kami dibawa ke Hotel Africa Avenue untuk menginap.

Esoknya, awal pagi lagi ke lapangan terbang Delhi semula untuk menaiki penerbangan ke Kashmir. Kami dimaklumkan peserta yang ditahan terpaksa pulang, anaknya yang lulus kemasukan, turut pulang menunjukkan ketegasan pemeriksaan di pintu masuk yang tidak berkompromi dengan sebarang kesilapan dokumen.


Ketibaan di Srinagar, Kashmir

Di Lapangan Terbang Srinagar Kashmir, kawalan imigresen juga ketat, namun mujur kami semua dilepaskan masuk. Bas sudah sedia menunggu untuk membawa kami ke tempat Apenginapan, Rumah Bot di Tasik Dal, lebih dikenali Boat House. Pengalaman menginap di rumah bot yang sepatutnya menyeronokkan bertukar menjadi rimas apabila diserbu oleh penjaja barangan. Empat hari tiga malam menginap di atas Tasik Dal, Kashmir yang serba asing tentulah banyak hendak diceritakan. Namun saya akan menulisnya dalam tajuk asing mengenai pengalaman khusus di situ.

Jadual utama di Kashmir ialah lawatan ke kawasan pelancongan Banjaran Himalaya, Gulmarg dan Sonamarg. Sampai di rumah penginapan Boat House sudah lewat petang, maka aktiviti lawatan bermula pagi esoknya.

Lawatan pertama esoknya adalah adalah ke Gulmarg, namun dalam perjalanan kami singgah sebentar di Heritage Mughal Garden, di Nishat. Ia adalah kelompok taman yang dibina oleh Maharaja Mughal bercirikan seni bina Islam, dipengaruhi Taman Parsi menerusi struktur Charbagh (taman). Ia menampilkan latar bujur sangkar dibina dalam kandang berdinding dengan iringan kolam hiasan, air pancur dan terusan. Pengasas kerajaan Mughal, Babur gemarkan binaan taman. Pada musim sejuk, taman kering, tiada seri, justeru tiada apa yang menarik dalam kunjungan kami ke situ.


Gulmarg

Kami sampai di Gulmarg menjelang tengah hari. Gulmarg adalah stesen bukit, destinasi sukan ski yang popular di daerah Baramula dalam negeri Jammu dan Kashmir, India. Kedudukannya di Banjaran Pir Panjal, di Barat Himalaya, pada altitude 2,650 m, 56 km dari Srinagar.

Tanah Gulmarg diliputi kesan glasier, meliputi permukaan kawasan terbentuk daripada pelbagai batuan termasuk batu kapur dan sandstone. Pada musim dingin tanah rumputnya juga diliputi salji, memungkinkan pertumbuhan bunga liar seperti daisy, forget-me-nots dan butter cups sewaktu musim bunga dan panas. Suasana bertambah cantik dengan iringan tasik kecil, berlatarkan hutan pine dan fir, sekali gus mewujudkan panorama taman semula jadi.

Kegiatan sukan ski di Gulmarg berlangsung di lereng puncak Apharwat, berketinggian 4,267 m.

Pengalaman tidak dapat dilupa sewaktu menapak ke kawasan salji, biarpun permukaan tanah agak landai, pernafasan tercungap-cungap dan kaki semakin berat untuk melangkah kerana perbezaan tekanan udara. Namun kami gagahi jua untuk sampai ke tempat bermain ski.

Setelah puas merakam gambar, menapak turun semula ke stesen Gondola. Untuk sampai ke kawasan bersalji itu, perlu menaiki kereta kabel berkenaan, dan terdahulu kami beramai-ramai menaiki kuda yang diringi gembalanya ke stesen pertama Gondola. Kesokannya berkunjung pula ke satu lagi kawasan bersalji iaitu di Sonarmag. Diterjemahkan “Meadow of Gold”, ia adalah stesen bukit di daerah Ganderbal di India, juga dalam wilayah Jammu dan Kashmir. Di situ letaknya glasier Himalaya yang tersohor di Lembah Kashmir dikenali, Glasiar Kolhoi dan Glasiar Machoi, di kemuncak 5,000 meter. Ia menampilkan pemandangan lembah alpine, di tebing Nallah Sindh, 87 km Timur Laut Srinagar.

Destinasi pelancong popular ini berkedudukan pada altitud 2,800 meter dari paras laut. Saya dan beberpa peserta menunggang kuda untuk sampai ke kawasan kaki perbukitan. Perjalanan mengambil masa hampir sejam. Pemandangan sekitarnya sangat indah. Sementara sekumpulan lagi menaiki van untuk sampai ke atas.

Sonamarg

Perjalanan ke Sonamarg, diiringi panorama perkampungan sepanjang Nallah Sindh, iaitu anak sungai terbesar di Sungai Jehlum. Lembah Kashmir sepanjang 97 km pada musim sejuk menampilkan pemandangan bukit, cerun dan gaung serta padang kering.

Kashmir sejak zaman silam juga terkenal sebagai pengeluar bulu kambing Cashmere yang dieksport ke seluruh dunia selain barangan kraftangan seperti selendang, permaidani sutera, permaidani tebal dan tembikar sementara Srinagar dikenali pusat barangan perak, gam, ukiran kayu dan tenunan sutera.

Hanya pada abad ke-19, Kashmir terkenal sebagai pusat pelancongan kerana cuacanya yang sejuk.


Jadual lawatan, ternanggu pada hari terakhir di Kashmir, apabila penerbangan yang dijadualkan jam 12 tengah hari dari Srinagar ke Delhi dibatal. Semua penerbangan menghadapi nasib sama pada hari itu kerana halangan cuaca, kabus yang teruk.

Lewat petang esoknya baru sampai di Delhi, menaiki penerbangan Go Air yang melalui Mumbai. Hilang sehari jadual lawatan, sekali gus merosakkan rancangan kunjungan ke Taj Mahal. Pada hari esoknya Jumaat, pelancong tidak dibenarkan masuk ke Taj Mahal, namun kami sempat melawat Kubu Agra ( Agra Fort).

Penerbangan pulang pada hari itu juga menghadapi rintangan apabila van yang kami naiki gagal sampai pada waktunya kerana kesesakan lalu lintas yang teruk. Terpaksalah tunggu dua hari lagi sebelum dapat terbang ke tanah air dengan perasaan terbuku di hati kerana satu hasrat tidak tercapai. Banyak masa dihabiskan dengan menunggu dan berpindah dari hotel ke hotel sewaktu terkandas. Perjalanan tujuh hari menjadi 10 hari. Apa pun pengalaman pahit itulah yang manis untuk dikenang!

Sedikit fakta mengenai Kashmir.

  • Pada zaman dahulu, Kashmir ialah pusat penting agama Hindu diikuti Buddha, sebelum lahir ajaran Kashmir Shaivism pada abad kesembilan.

  • Pada 1349, Shah Mirza, muncul pemerintah Islam pertama di Kashmir dan memulakan susur-galur pemerintahan Salatin-i-Kashmir. Sejak itu, selama lima abad Kashmir diperintah kerajaan monarki Islam termasuk kerajaan Mogul yang berkuasa sehingga 1751, diikuti kerajaan Afghan Durranis, memerintah sehingga 1820, sebelum ditawan kerajaan Sikh di bawah Ranjit Singh.

  • Pada tahun 1846, selepas membeli wilayah ini daripada British di bawah Perjanjian Amritsar, kerajaan Dogra di bawah Gulab Singh, menjadi pemerintah Kashmir yang baru.

  • Pemerintahan Dogra yang menjadi wakil Raja Britain tamat pada1947, apabila negeri bangsawan ini kemudian menjadi wilayah bergolak dan ditadbir tiga negara: India, Pakistan, dan China.

#Kashmir #JammudanKashmir #Gulmarg #Sonarmag #SaljidiKashmir

© 2017 Riaseri. Registration on or use of this site constitutes acceptance of our Terms of Service and Privacy Policy. Email us at myriaseri@gmail.com for any enquiries. Kuala Lumpur, Malaysia. 

  • White Facebook Icon
  • White Twitter Icon
  • White Instagram Icon

Ikut kami di: