• Rashidah Ibrahim

Bosphorus Cruise di Istanbul, Apa Yang Menariknya?



Andai ke Istanbul Turki, tidak sah kalau tidak menyertai pelayaran santai Bosphorus Cruise. Apa yang menarik sangat di situ? Keindahan panorama alam sekeliling, tentulah jawapannya. Dengan pelbagai unsur tarikan landskap air, selat itu menjadi tumpuan.

Bersiar di selat Bosphorus mungkin cerita basi bagi yang pernah mengalaminya, namun gambaran perasaan seseorang itu hanya dia yang tahu. Tidak mengapa kalau anda sudah pergi, lain orang lain ceritanya.

Sebaik bas yang kami naiki memasuki kawasan itu, hati dicuit keterujaan, terutama apabila melihat feri dan bot pesiaran yang lalu lalang. Dari jauh, kelihatan feri dan bot bergerak perlahan membelah selat dengan pelancong di dalamnya. Sebentar lagi giliran kami pula akan berada di atas salah satu bot pelayaran untuk turut merasai pengalaman bersiar di selat kota bersejarah itu. Ya kami juga akan menyertai Bosphorus Cruise di Istanbul, Turki untuk mengetahui apakah yang menarik sangat di situ.

Kami menaiki bot yang agak besar, cukup luas untuk penumpang seramai 30 orang. Penumpang boleh memilih untuk duduk di ruang berdinding kaca lut sinar di aras bawah atau di lantai dek, tingkat atas yang terbuka.


Peserta memanjat tangga berhati-hati ke dalam bot pesiaran Bosphorus Cruise kebanyakannya memilih tempat duduk di dek berbumbung dan terbuka di sekeliling, mudah untuk mengambil gambar dan melihat alam persekitaran. Ruang dek menyediakan bangku panjang di tepi dan tengah.

Destinasi itu berlatarkan kebiruan laut Selat Bosphorus dengan landskap padat dikelilingi bangunan lama dan bersejarah. Daripada jauh, bangunan kelihatan rapat di antara satu sama lain. Pantas menangkap pandangan adalah masjid yang dikenali menerusi bentuk menara runcing di empat penjuru. Kebanyakan masjid di sekitar Istanbul, bereka bentuk seiras dengan dom besar di tengah dan menara kurus tinggi di sudut.

Juga gah tersergam di pesisir Selat Bosphorus, bangunan Universiti Galatasaray, yang ditubuhkan pada 1992, melalui perjanjian bersama oleh pihak Turki dan Perancis. Nama Galatasaray juga tersohor sebagai salah sebuah kelab bolasepak antarabangsa dari negara itu. Pemandu Pelancong berbangsa Turki, Aziz Ahmed, terus ke tempat pembesar suara di tingkat bawah, memberi penerangan sambil kami sibuk menikmati keindahan panorama sekeliling dan mengambil gambar di tingkat atas.

Turki adalah kota dua benua yang mana selat Bosphorus menjadi garis pemisah antara benua Eropah dan Asia, dan pada masa sama ia menghubungkan kedua-dua benua itu melalui jalan laut. Dengan erti kata lain, menurut Aziz Selat Bosphorus membahagikan Turki kepada dua daratan iaitu sebelah Eropah dan Asia (Anatolia), dan menghubungkan Laut Marmara di Selatan dengan Laut Hitam di Utara Istanbul.atas.


Tertera dengan garis panjang 30 km, lebar maksimum 3,700 meter pada bahagian utara, dan minimum 750 meter antara Anadoluhisari dan Rumelihisari, kedalaman selat ini berubah-ubah mengikut tempat, dari 36 hingga 124 meter.

Di tepian selat itu terletaknya bandar, Istanbul, ibu negara Turki yang berpendudukan padat.

Terdapat dua jambatan menyeberangi Selat Bosphorus, iaitu Jambatan Bosphorus sepanjang 1,074 meter yang pembinaannya berakhir pada 1973 dan kira-kira 5 km di sebelahnya pula Jambatan Fatih Sultan Mehmet 1,090 meter yang disempurnakan pembinaannya pada 1988.

Dalam pesiaran Bosphorus Cruise di Istanbul, Turki itu, jambatan merentangi selat berkenaan melengkapkan panorama alam di destinasi rekreasi air itu.

Pada bulan April, musim bunga di daratan Turki namun cuaca sentiasa dingin bagai di musim sejuk. Berada di atas bot, semestinya wajib berpakaian tebal untuk mengelak tubuh digigit kedinginan.

Bot terus bergerak, hembusan angin di dek tika bot bergerak, menambahkan lagi tahap kesejukan. Boleh membuat anda menggigil kesejukan jika baju tidak cukup tebal.


#Bosphorus #Istanbul #Turki #cruise #melancongkeTurki #SelatBosphorus

© 2017 Riaseri. Registration on or use of this site constitutes acceptance of our Terms of Service and Privacy Policy. Email us at myriaseri@gmail.com for any enquiries. Kuala Lumpur, Malaysia. 

  • White Facebook Icon
  • White Twitter Icon
  • White Instagram Icon

Ikut kami di: