• Rashidah Ibrahim

Cemas Tunggang Gajah


Melawat negara Gajah Putih atau Thailand tidak sah kalau tidak pergi ke pusat rekreasi gajah. Kali ini saya ingin mengimbau kenangan melancong ke Chiang Mai bersama tiga rakan wartawan, yang ditaja oleh The Tourism Authority of Thailand (TAT), pengalaman yang tidak pernah luput dari ingatan biarpun kembara ke destinasi itu sudah berlalu bertahun-tahun lamanya.


Namun saya percaya, kegiatan pelancong ke pusat rekreasi berkenaan sama sahaja daripada dulu sehinggalah sekarang. Tidak lepas daripada aktiviti pertunjukan dan menunggang gajah. Bahkan di mana-mana destinasi pusat rekreasi gajah di kawasan lain juga kegiatannya pun hampir sama.



Permulaan masuk di sambut oleh bangunan Visitor Centre, yang mana berhampirannya terdapat pondok yang menempatkan kaunter tiket. Menariknya bangunan Visitor Center dan Pondok Tiket dibina daripada kayu untuk mengekalkan kesinambungan suasanan alam semula jadi di situ.


Pelancong datang bersendirian boleh membeli sendiri tiket di kaunter namun yang datang secara berkumpulan akan disediakan oleh pemandu pelancong rombongan terbabit.


Menyertai rombongan dari Malaysia hanya empat orang (dua lelaki dan dua wanita), maka kami masing-masing diberikan peluang oleh penaja untuk menyertai kegiatan yang terdapat di situ. Kegiatan yang tidak sepatutnya dilepaskan ialah menunggang gajah.

Bagi kemudahan menaiki di atas belakang gajah yang tinggi itu, pelawat dikehendaki memanjat tangga pondok tempat memulakan perjalanan. Dari atas lantai pondok, kami melangkah turun ke kerusi gajah.


Dengan rasa berdebar, kami memulakan perjalanan. Bagaimana perasaan? Ya memang teruja, tetapi setelah melalui beberapa langkah perjalanan, terasa alangkah siksanya melalui perjalanan dengan binatang tunggangan seperti itu. Gajah melangkah dan berjalan terhinggut-hinggut, menghayun badan kami ke kiri dan kanan, amat tidak selesa. Saya membayangkan bagaimana tersiksanya raja atau pembesar-pembesar zaman dahulu kala menaiki gajah tunggangan, walaupun nampak seperti selesa.


Saat tidak dapat dilupakan apabila gajah yang kami naiki berjalan menunduk menuruni tebing kolam terasa, badan seakan mahu tercampak ke depan. Saya memegang kemas birai kerusi, saat ia melompat ke air, tidak dapat menahan ketakutan serentak itu kami melaung cemas! Setiap kali teringatkan pengalaman itu, sungguh melucukan.


Mereka ini nampak sahaja tenang gembira, tetapi hakikatnya hati berdebar-debar tatkala duduk terhinggut-hingut di atas belakang pak belalai.


Bertuahlah dua rakan media ini, gambar mereka dapat saya rakam dari gajah tunggangan kami yang berada di belakang mereka. Tengok ... dengan latar pemandangan tasik yang membiru.


Selesai menunggang gajah kami menapak ke tempat persembahan.


Persembahan dimulakan dengan kegiatan air, setiap gajah menunjukkan gerak laku mengikut arahan tuan masing-masing.


Begitu juga dengan persembahan di darat. Setiap pergerakan gajah adalah dengan arahan tuannya.


Antara yang menarik adalah persembahan bermain alat muzik seakan angklung.


Tidak ketinggalan, seekor gajah mempersembahkan bakat mewarna atau melukis menggunakan hujung belalainya.



Gajah pun berbakat melukis!


#thailand #gajah #gajahputihthailand

© 2017 Riaseri. Registration on or use of this site constitutes acceptance of our Terms of Service and Privacy Policy. Email us at myriaseri@gmail.com for any enquiries. Kuala Lumpur, Malaysia. 

  • White Facebook Icon
  • White Twitter Icon
  • White Instagram Icon

Ikut kami di: