• Rashidah Ibrahim

Diraikan Gerbang Mahkota



Tahun bila pun sudah lupa namun pengalaman dibawa melancong ke Chiang Mai Thailand, kekal tersemat di sanubari. Setiap satu perjalanan yang ditaja dan dibawa dari satu destinasi ke destinasi penginapan mewah, manakan boleh lupa? Terima kasih kepada The Tourism Authority of Thailand (TAT) yang menaja perjalanan kami dalam program lima hari empat malam.

Namun fokus kali ini bukan lokasi penginapan, sebaliknya fokus kepada sebuah ruang pameran kedai barangan hiasan dalaman di bandar berkenaan. Berjalan-jalan melewati deretan kedai yang bertempat di bangunan seakan kediaman, pandangan terpana pada sebuah kedai dekor yang bercat serba pink@merah jambu.

Warna lembut berciri kewanitaan itu pantas menangkap pandangan saya, langsung tanpa disedari kaki melangkah terus ke ruang pameran itu. Bentuk gerbang dibina bersekali tembok pagar ternyata begitu unik. Dom gerbang berilhamkan mahkota siam, yang meninggi dan meruncing ke atas pastinya mencuri perhatian sesiapa sahaja yang melewati kawasan berkenaan.


Melangkah masuk menerusi pintu gerbang, disambut pintu kayu padu yang menjadi laluan masuk ke ruang pameran berkenaan. Dengan warna semulajadi kayu, tampil serasi dengan tona merah jambu dinding, memperlihatkan biasan campuran unsur klasik dan moden.


Sebelum melangkah masuk ke dalam, mata sempat mengerlingkan kepada gaya penataan taman yang ringkas namun menarik. Ia mengutamakan tanaman pokok berdaun hijau renek dan rimbun, mengiringi pokok teduhan tinggi.


Penggunaan pokok pasuan yang boleh diubah suai kedudukan di atur sebaris, menambahkan elemen keindahan taman, di samping junjung jaring yang ditumbuhi pokok tanpa akar, janggut sulaiman. Bagi yang tidak tahu, janggut sulaiman adalah pokok berdaun halus seperti jarum, hidup dengan hanya digantung berjuraian pada pagar atau apa jua palang.

Kehadiran tumbuhan hijau di situ membantu meredupkan suasana taman dan ruang dalaman kedai tika hari panas.


Bangku dan meja lipat turut disediakan di taman.


Gantungan himpunan lampu kertas yang dipamer untuk dijual, secara tidak langsung menjadi elemen dekor kedai.


Setiap sudut kedai mempamerkan unsur hiasan dalaman , termasuk barang yang dijual dan yang dijadikan penyeri.


Dinding bercat warna latar biru pekat, mencetuskan susana kelam. Namun kehadiran lampu gantung, menitipkan aura romantik.

Pelantar kayu dibina di muka pintu gerbang sebagai pelengkap penataan di bahagian depan kedai. Gaya unik sebagai daya penarik, menggamit pelanggan supaya masuk untuk meneroka dan melihat apa yang terdapat di ruang pameran berkenaan.


#chiangmai

© 2017 Riaseri. Registration on or use of this site constitutes acceptance of our Terms of Service and Privacy Policy. Email us at myriaseri@gmail.com for any enquiries. Kuala Lumpur, Malaysia. 

  • White Facebook Icon
  • White Twitter Icon
  • White Instagram Icon

Ikut kami di: