• Rashidah Ibrahim

Ilham fesyen peplum



Busana songket moden, potongan separuh peplum.

2017

Setahun dua ini adalah tren baju peplum. Daripada mana datang perkataan ini? Entah, tiba-tiba saja muncul. Maksud peplum adalah bahagian bawah baju yang kembang pendek dari aras pinggang ke punggung. Kebanyakan fesyen peplum ini menampilkan bentuk potongan payung dari paras pinggang ke bawah. Ada juga yang dijahit sedikit berlisu.

Kenapa fesyen peplum begitu popular? Popularnya ia sehingga hampir semua kedai pakaian wanita dibanjiri baju potongan ini. Kalau anda amati, bukan saja kembang di bahagian pinggang ke bawah bahkan bawah lengan juga. Adakah kerana mengikut ilham pereka fesyen atau pemain industri? Yang pasti semua itu adalah tren.

Kalau ada pereka fesyen yang mengatakan potongan itu adalah ilham aslinya, memang mengarut. Ini kerana fesyen peplum wujud sejak zaman 60-an. Pernah dipopularkan oleh bintang filem pada zaman itu iaitu seniwati Saloma dan bintang filem seangkatannya. Bahkan di kalangan pendokong fesyen suatu masa dahulu menggelarnya sebagai fesyen baju saloma.

Mungkin pada mulanya diperkenalkan semula oleh kalangan pereka fesyen, dan apabila ia kelihatan diminati ramai, pemain industri khususnya pengeluar pakaian siap mula membanjirkan pasaran dengan fesyen itu. Pelanggan pula menerima saja apa di pasaran.

Sebagaimana yang kita ketahui wanita muda pada zaman 50 dan 60-an mengekalkan bentuk badan langsing dan ramping, orang kata pinggang secekak! Atau bodi seperti gitar! Bentuk tubuh seperti itulah yang sesuai dengan baju peplum. Sekarang ini, semua kedai pakaian jual siap dibanjiri baju berpinggang dan berlengan peplum.

Kalau nak pakai baju peplum agak-agaklah dengan bentuk tubuh sendiri. Jika gempal mungkin tidak berapa sesuai. Nak pakai boleh, tiada salahnya tetapi tentulah lebih anggun dan selesa dipandang andai terletak pada orang bertubuh senderhana atau kurus.

Kalau anda amati, daripada baju harian hinggalah kepada busanan pengantin, semuanya `ber peplum' semenjak dua menjak ni. Anda bagaimana? Sudahkah ada baju peplum????

Gambar:

Penulis RiaSeri tidak ketinggalan mengabadikan fesyen peplum sempena majlis walimah beliau baru-baru ini. Memilih songket warna lembut merah kesumba samar dengan corak songket benang perak. Menurutnya, ilham pakaian bersumberkan satu gambar model atau pengantin yang dijumpai di laman maya. Ia menampilkan fesyen peplum jenis separuh iaitu terbuka di bahagian depan, untuk kelainan daripada kebiasaan.

#fesyen #peplum #bajusaloma #songket #fesyenterkini

40 views

© 2017 Riaseri. Registration on or use of this site constitutes acceptance of our Terms of Service and Privacy Policy. Email us at myriaseri@gmail.com for any enquiries. Kuala Lumpur, Malaysia. 

  • White Facebook Icon
  • White Twitter Icon
  • White Instagram Icon

Ikut kami di: