• Rashidah Ibrahim

Ilham Gubahan Hantaran, Cantik Menawan Bersekali Tip



Ilham gubahan hantaran kuih muih, coklat, sireh junjung dan al-Quran.

GUBAHAN HANTARAN CANTIK MENAWAN

Tarikh majlis perkahwinan sudah ditetapkan, sebelum persiapan untuk majlis berkenaan terlebih dahulu pihak perempuan mahupun lelaki sibuk dengan mencari barang hantaran. Sama ada untuk diberi sewaktu majlis pertunangan atau sewaktu majlis perkahwinan, kreativiti gubahan menjadi keutamaan. Masing-masing mahukan idea gubahan hantaran cantik menawan.

Namun bukan semua orang dapat memperlihatkan idea gubahan yang menarik, ada yang difikirkan menarik tetapi apabila dibuat hasilnya tidak berapa cantik. Jadi tip nya adalah serahkan sahaja kerja itu kepada pakar. Anda tidak perlu bersusah payah memikir idea dan menghabiskan masa mencari barang dan menggubahnya.

Mengupah orang tentulah anda mesti sanggup mengeluarkan wang upahnya, kalau rasa-rasa kedekut atau hendak berjimat, tidak dapat tidak kenalah hasilkan sendiri gubahan, samada akan menjadi cantik menawan atau tidak, itu belakang kira kan? Begitulah fikiran mereka yang lebih pentingkan penjimatan!

Kalau kekeringan idea, lihat sahaja contoh gubahan orang lain sebagai rujukan. Kemudian ubah suai serba sedikit, tentulah hasilnya tidak akan sama seratu peratus dengan yang dirujuk. Bagi mewujudkan kelainan, paling tidak tukar warna atau bentuk bekas.

Di sini RIASERI paparkan beberapa ilham gubahan hantaran yang dihasilkan oleh Hamidah Hassan untuk majlis perkahwinan anaknya.

TIP GUBAHAN, CANTIK MENAWAN
Berikut beberapa tip untuk gubahan hantaran cantik menawan dari RIASERI
1. RONA

Padanan warna atau rona dalam apa aspek penataan, sebaiknya tidak melebihi ​3 warna.

2. KEMAS

Penataan dulang hendaklah jangan terlalu sarat dan menggunakan pelbagai jenis bunga, hadkan kepada satu bunga utama dan sikit bunga perimbun, dengan itu ia tidak akan nampak berserabut,

3.​ ​SAIZ

Barang hantaran hendaklah disesuaikan dengan bekasnya dari segi ukuran dan saiz. Jika barang terlalu kecil, bekas terlalu besar, kewujudan barang hantaran akan tenggelam. Jika bekas kecil dan barang besar, ia akan nampak tidak sepadan.

4.​ ​BERAT

Jika barang berat, elok letak pada dulang tanpa kaki, untuk mengelak ia daripada jatuh tergolek dan rosak. Barang sederhana berat, boleh menggunakan pahar atau bekas hantaran berkaki.


Ilham gubahan beg tangan digubah ringkas tetapi menawan. Di sebelahnya adalah kain batik ela dan set penjagaan diri.


Sirih pinang, sirih berlapis, ewah macam pantun pula. Lihat betapa halusnya seni hiasan gubahan sirih junjung ini (kiri), yang diserikan dengan bunga ros daripada buah pinang dan kuntuman bunga melur daripada kapur. Di bawah adalah kain batik pasang yang digubah ringkas konsep kipas.

* Petua melipat kain hantaran, jangan keterlaluan lipatan bentuknya, bimbang kain jadi rosak.


Wow helaian duit keping RM100 digubah menjadi bunga mawar mungkin sebagai duit maskahwin atau hantaran. Gambar tengah, tentunya kain telekung berwarna putih, cantik sekali kemasan lace pada hujung bawah telekung, yang dibentuk seperti kipas.


Jam hantaran tampil berseri diisi dalam bekas yang dihiaskan dengan kuntuman bunga mawar putih gebu. Di sebelahnya adalah hantaran kain ela lace sekadar dilipat bertemu tepi, ilham lipatan baju kebaya.


Set penjagaan diri dimasukkan ke dalam kotak dengan gaya susunan yang kemas, lalu diikatkan dengan kain net warna putih. Kemudian kain net diikat kemas dengan dawai lalu dipasangkan tali pintal keemasan dan kuntuman bunga hiasan.

Perhatikan gubahan ini, memang ringkas! Namanya jenis gubahan bungkus net.

Seni atau keindahannya terserlah menerusi kehadiran sekuntum bunga permata yang diperlengkapkan dengan tali pintal dan rantai manik, warna emas.

Bayangkan tanpa hiasan bunga, tali dan manik itu, agak-agak cantik tak?


Sirih junjung kepala hantaran, dibawa paling dahulu dan diiringi dengan yang lain-lain.

#ilhamgubahan #ilhamgubahanhantaran #gubahanperkahwinan #gubahanpertunangan #sirihjunjung

331 views

© 2017 Riaseri. Registration on or use of this site constitutes acceptance of our Terms of Service and Privacy Policy. Email us at myriaseri@gmail.com for any enquiries. Kuala Lumpur, Malaysia. 

  • White Facebook Icon
  • White Twitter Icon
  • White Instagram Icon

Ikut kami di: