• Rashidah Ibrahim

Menarik di Ronda, Sepanyol - Puente Neuvo, Jambatannya Tinggi, Gaungnya Dalam.

JAMBATAN BARU YANG LAMA



Berada di atas jambatan merentasi tubir tegak 90 darjah yang sangat dalam ni, gayat gila. Sewaktu dihalakan kamera untuk merakam kedalaman jurang@gaung, seriau semaCam, sambil berdoa janganlah gajet ni terlepas daripada tangan. Kalau terjatuh, Innalillahlah...jawabnya.


Berdiri di Jambatan


Kami sedang berada di Ronda, bandar ketiga paling banyak dikunjungi di selatan Sepanyol. Apakah yang paling menarik di Ronda? Jawapannya ialah Jambatan Puente Nuevo (New Bridge) yang sangat unik, merentasi jurang El Tajo sejauh 120 meter (394 kaki). Inilah tarikan yang paling utama di Ronda, Sepanyol.


Ronda terletak 100 kilometer barat kota Malaga. Ia berada di dalam rantau otonom Andalusia dengan populasinya berjumlah 35,000.

Tika kami baru saja sampai di jambatan itu, rasa terpinga melihat kehebatan pemandangan. Kenapa ya tebingnya sangat tinggi, menegak 90 darjah?


Formasi tubirnya berbongkah dan berkeluk, sukar untuk dibayangkan dengan kata-kata. Lihat sahaja gambar-gambar yang tertera.


Menatap foto sahaja boleh berasa seriau, apatah lagi ketika berada di atas jambatan yang merentasi gaung itu. Pantas meremang bulu roma terutama apabila menundukkan kepala untuk melihat kedalaman jurang.

Gril besi penghadang di tengah-tengah jambatan membolehkan anda melihat lurus ke bawah jurang.


Pengunjung bertumpu di kawasan jambatan ini untuk menghayati keunikan alam.


Jambatan yang tinggi itu dibina oleh manusia selama berpuluh tahun, bentuk muka bumi wujud hasil formasi semula jadi anugerah alam. Sungai yang mengalir di dasar jurang kelihatan sayup dari atas.



El Tajo Gorge, Ronda, Sepanyol.


Kami sampai di sini pada April 2018. Sudah beberapa tahun berlalu, tengok balik gambar-gambar ini terimbau semua kenangan.


The Puente Nuevo ('Bridge Baru') siap pada tahun 1794 dan, ia salah satu sebab mengapa bandar ini merupakan destinasi ketiga paling banyak dilawati di Andalusia. Membelah Ronda kepada dua bahagian.



Tubir tinggi 90 darjah



Puente Neuvo


Diterjemahkan daripada perkataan Sepanyol ke dalam bahasa kita bermaksud, jambatan baru. Bagaimanapun hakikatnya ia sebenarnya adalah sebuah jambatan lama atau tua di Galicia, Ronda, Sepanyol.



Tinggi dan bergaung yang angat dalam, itulah kelainan jambatan Puente Neuvo. Disiapkan pembinaannya dalam tempoh 34 tahun (1759 - 1793), kedudukannya merentangai jurang El Tajo. Di bawahnya mengalir sungai Guadalevin yang membelah bandar Ronda di selatan Sepanyol.



Terpana dengan pemandangan alam saujana menghijau.


Jambatan batu 66 meter lebar dan 98 meter tinggi ini dikatakan hasil ilham pereka, Domingo Lois de Monteagudo.


Terdapat satu ruang di atas gerbang yang di tengah berfungsi untuk pelbagai kegunaan. Tempat itu pernah dijadikan penjara semasa perang saudara pada 1936-1939.


Dulunya di situ dikatakan terdapat ruang penyeksaan banduan dan tahanan. Ada tahanan dibunuh kejam dengan dilemparkan ke dasar jurang El Tajo yang berbatu batan. Kini ruang tahanan itu dijadikan premis pameran mengenai sejarah dan pembinaan jambatan berkenaan.



Melihat pemandangan alam indah, luas terbentang dari atas jambatan.


Difahamkan jambatan asal yang dibina sebelum tahun 1735 oleh arkitek Jose Garcia dan Juan Camacho, menampilkan reka bentuk melengkung tunggal tetapi telah runtuh disebabkan kelemahan binaan. Dalam kejadian runtuh itu dilaporkan 50 orang maut. Selepas itu jambatan baru yang ada sekarang dibina.




Gril besi di tengah-tengah jambatan membolehkan anda melihat lurus ke bawah jurang.



Sebenarnya di seluruh kawasan itu, terdapat tiga jambatan utama iaitu Jambatan Baru Puente Nuevo yang sebenarnya jambatan lama, Jambatan Lama Puente Viejo bukanlah yang terlama juga digelar Arab Bridge (Puente Arabe) dan ketiga, Jambatan Roman Puente Romano", tidak juga gaya Roman kerana ia dibina oleh orang Arab.



Ronda terletak 100 kilometer barat kota Malaga. Ia berada di dalam rantau otonom Andalusia dengan populasinya berjumlah 35,000.























Jambatan Puente Neuvo

(New Bridge)


Lokasi: El Tajo Gorge, Ronda, Sepanyol. 24 April 2018.

0 views

© 2017 Riaseri. Registration on or use of this site constitutes acceptance of our Terms of Service and Privacy Policy. Email us at myriaseri@gmail.com for any enquiries. Kuala Lumpur, Malaysia. 

  • White Facebook Icon
  • White Twitter Icon
  • White Instagram Icon

Ikut kami di: