• Rashidah Ibrahim

Jenis-Jenis Wau Tradisional Malaysia Yang Digemari


Pereka wau Mohd Razi Mohd Said lebih dikenali Razi Said yang berasal dari Selangor, menyimpan lebih 30 wau yang dihasilkan sendiri khusus untuk kegunaan menyertai pertandingan. Ini adalah sebahagian daripada wau yang berjaya dihasilkannya, iaitu jenis-jenis wau tradisional Malaysia yang digemari penduduk di negara ini. Namun bilangan jenis wau diguna di negara ini, lebih daripada itu.

Wau Bulan


WAU BULAN

Sebagai wau kebangsaan Malaysia, ia dikatakan berasal dari empayar Sri Vijaya. Lahirnya sebagai lambang penyatuan semula empayar itu oleh Dewa Muda. Sebelum melakukan serangan, Dewa Muda bertapa untuk mendapatkan ilmu kebatinan, kemudian keluar dari pertapaan, dengan membawa rangka Wau Bulan yang dianggap peta penyerangan dan penaklukan semula empayar itu. Wau Bulan dijadikan panduan menentukan lokasi untuk ditakluki. Serangan dilakukan ke tempat di mana jatuhnya Wau Bulan yang dilepaskan. Selepas kejayaan penaklukan, pesta diadakan dengan menaikkan Wau Bulan. Wau Bulan adalah antara jenis wau tradisional Malaysia yang digemari di negara ini

Wau Kucing


WAU KUCING

Antara yang diiktiraf sebagai wau tradisional Malaysia. Tidak seperti Wau Bulan yang lebih menonjol dan diabadikan dalam pelbagai bentuk, Wau Kucing sinonim dengan syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) kerana menjadi logo korporatnya. Wau Kucing dikatakan berasal dari Kelantan. Ketika mula diperkenal sekitar 1967, pelayang negeri lain tidak kenal dan tidak tahu cara membuat wau ini. Reka bentuk dipercayai berdasarkan kucing sedang duduk dari pandangan belakang. Jika diterbalikkan bahagian ekor kelihatan seperti muka kucing. Ia dipasang bersekali busur. Antara keistimewaan, busurnya mengeluarkan bunyi nyaring seperti kucing. Motif ukiran sobek tidak banyak perbezaan dengan wau tradisional lain, masih menggunakan motif bunga dan tumbuhan.

Wau Jala Budi


WAU JALA BUDI

Yang ketiga diiktiraf wau tradisional Malaysia, Wau Jala Budi melambangkan tubuh seorang perempuan daripada pandangan sudut belakang, menampakkan tangan perempuan didepa, diikuti bahagian badan ke pinggang dan seterusnya ke bahagian punggung. Perkataan Jala Budi dikatakan wujud daripada perkataan `body` merujuk badan perempuan yang kemudian disebut budi dalam bahasa Melayu, seterusnya menjadi Jala Budi. Rupa bentuk wau ini ada persamaan dengan `chula kite` (male) dari Negara Thailand yang merujuk lelaki. Di Kedah, asal usul nama Wau Jala Budi dikatakan berasal daripada nama daun, Budi dari negeri itu, yang diperlihatkan di bahagian kerangka ekor. Wau Jala budi adalah juga jenis wau tradisional Malaysia yang digemari.

Wau Puyuh


WAU PUYUH

Ia wau rasmi Kelantan, iaitu wau tradisi negeri yang agak baru dicipta. Kelantan ketiadaan wau tradisi selepas Wau Bulan, dijadikan wau kebangsaan Malaysia. Ini mendorong pemain wau Kelantan mencipta wau seakan Wau Bulan atau yang ada perkaitan nama dengan Wau Bulan. Akhirnya mereka mengambil nama burung`puyuh` sebagai tema wau tradisi. Prinsip asas reka bentuk Wau Puyuh tidak banyak berbeza dengan wau Melayu kecuali ada sedikit penambahan pada bahagian hujung sayap burung. Bahagian ekornya jika diterbalik kelihatan seperti muka puyuh dari pandangan hadapan. Asalnya tidak berhias ukiran sobek namun kebelakangan ini ada pembuat di negeri itu mengemaskannya dengan ukiran sobek.

Wau Merak


WAU MERAK

Wau rasmi masyarakat Johor dipopular kalangan keturunan Bugis. Dimainkan selepas waktu menuai padi, wau ini berasal dari Sulawesi Indonesia. Reka bentuk berilhamkan burung Merak, berekor panjang dan mengembang. Sebelumnya digelar layang-layang kipas. Terdapat balung daripada rotan di kepalanya dan ekor daripada benang panjang berwarna-warni. Sewaktu diterbangkan, busurnya mengeluar dengung nyaring seperti bunyi Merak, dan ada mampu menghasilkan sehingga tujuh bunyi, terhasil apabila angin melalui rentangan tali busur. Wau ini berhias ukiran sobek motif tumbuhan menjalar iaitu lada hitam dan gambir di dada, mengingati lada hitam sebagai punca penghijarahan masyarakat Bugis beramai-ramai ke Johor pada pertengahan abad ke -19.


SEBAHAGIAN WAU DALAM SIMPANAN MOHD RADZI YANG DIHASILKAN SENDIRI

#JENISWAUTRADISIONAL #WAUKEBANGSAAN #WAUACARA #WAUSOBEK

674 views

© 2017 Riaseri. Registration on or use of this site constitutes acceptance of our Terms of Service and Privacy Policy. Email us at myriaseri@gmail.com for any enquiries. Kuala Lumpur, Malaysia. 

  • White Facebook Icon
  • White Twitter Icon
  • White Instagram Icon

Ikut kami di: