• Rashidah Ibrahim

Kembara Ho Chi Minh City: Bahagian 1.



Tidak pernah merancang untuk pergi membeli-belah ke Vietnam, namun mungkin sudah ditakdirkan penulis akan mengikut satu kumpulan dianggotai kaum ibu melancong ke sana.

Segalanya bermula apabila seorang rakan memaklumkan bahawa beliau dan rakan-rakannya telah merancang percutian untuk ke Ho Chi Minh City. Tidak semena-mena tergerak hati untuk pergi, lalu penulis memohon untuk menyelitkan diri.

“Bolehkah?”

“Nanti saya tanya, ketua kumpulan,” jawab kawan berkenaan.

Dipendekkan ceritakan, hasrat itu tercapai maka pada hari yang dijanjikan, kami berkumpul di lapangan terbang beberapa jam sebelum penerbangan berlepas.

Hanya pada hari itu penulis mengenali seorang demi seorang daripada ahli kumpulan, semua wanita kecuali seorang lelaki iaitu anak kepada salah seorang daripada kaum ibu itu.

Berlepas sebelum tengah hari, kami tiba di destinasi yang dituju pada waktu tengah hari selepas melalui perjalanan selama kira-kira sejam.


Pergi tanpa mengikut pakej tetapi ada pemandu pelancong yang dilantik oleh ketua kumpulan untuk menguruskan lawatan kami di sana.

Ramai pengunjung dari Malaysia pergi ke sana tanpa mengikut pakej pelancongan. Ada yang berulang-alik pada hujung minggu semata-mata bertujuan membeli barangan keperluan untuk berniaga.

Bagi yang pergi untuk makan angin, boleh melantik agen pelancongan yang direkomenkan oleh kawan yang pernah ke sana. Ini untuk kemudahan mengadakan program lawatan tanpa risiko ditipu.


Difahamkan kes penipuan terhadap pelancong asing kerap juga berlaku, terutama membabitkan bayaran perkhidmatan pengangkutan.

Melancong di Vietnam tidak terasa terlalu asing bagi kita rakyat Malaysia. Bukan sahaja penduduknya sama dari segi warna kulit, rata-rata kebanyakan mereka faham bahasa Inggeris, bahkan ramai juga tahu berbahasa Melayu.

Ini memberi kelebihan kepada pelancong dari Malaysia untuk membeli-belah dan melawat di sana.


Suasana bandar Ho Chi Minh jauh berbeza daripada ibu kota Kuala Lumpur. Ia adalah sebuah bandar kecil, sibuk pada waktu pagi dan petang, sewaktu mereka pergi dan pulang dari tempat kerja.

Kesesakan lalu lintas jarang berlaku kerana ramai daripada mereka menggunakan motosikal untuk bergerak. Rata-rata penduduk di sana menggunakan kenderaan beroda dua walaupun di tengah bandar.


Kedatangan kami disambut oleh wakil agen pelancong, seorang lelaki berusia dalam lingkungan 40-an. Kami dijemput dengan bas mini dari lapangan terbang. Destinasi pertama adalah Kedai Makan Melayu Cham, di untuk makan tengah hari. … membawa kami ke restoran yang menyediakan makanan halal, milik saudaranya. Hidangan masakan Thai, yang disajikan ternyata menambat selera.


Selain restoran, masyarakat Melayu di sana juga menjalankan pelbagai perniagaan lain terutama pakaian dan tudung. Kami sempat membeli-belah di kedai pakaian Zaidah yang menawarkan pelbagai fesyen tudung termasuk ala Fareeda dengan harga yang sangat berpatutan.


Masuk ke kedai kain, masing-masing rambang mata memilih sampai berebut. Harga murah menjadi tarikan. Penat berdiri, seorang demi seorang duduk melepak di atas lantai sambil terus memilih corak yang sesuai dengan selera hati. Tidak sekali berkunjung, ada yang pergi berkali-kali ke kedai yang sama untuk memilih barang yang dikehendaki.


Kedai makan yang kami kerap kunjungi untuk makan terletak di kawasan rumah kedai. Kami dibawa melalui lorong sempit di belakang bangunan untuk menuju ke Kedai Makan Melayu Cham. Dalam perjalanan pergi dan balik di laluan lorong itu, wanita tua kerdil ini (bertopi saji) setia menunggu sambil menghulurkan tangan isyarat meminta wang.

Selesai makan barulah menuju ke tempat penginapan, Kim Huong Hotel, betul-betul berhadapan kompleks beli-belah, Ben Thanh. Sewaktu melangkah ke muka tangga untuk memasuki hotel berkenaan, mata melirik kepada wanita yang sedang berdiri tegak sambil memegang dulang berisi haiwan patung mainan.

#hochiminh #city #kembara #trip

© 2017 Riaseri. Registration on or use of this site constitutes acceptance of our Terms of Service and Privacy Policy. Email us at myriaseri@gmail.com for any enquiries. Kuala Lumpur, Malaysia. 

  • White Facebook Icon
  • White Twitter Icon
  • White Instagram Icon

Ikut kami di: