• Rashidah Ibrahim

Kesan Genocide Zaman Pol Pot di Muzium Tuol Sleng (S-21)

Updated: Jun 10, 2019



Selama berpuluh tahun bertugas sebagai wartawan, tidak pernah berasa sengeri ini. Lawatan ke sebuah muzium dikenali Museum Genocide Tuol Sleng. Ia adalah sebuah Museum di kota Phom Penh, Kemboja yang mempamerkan sejarah kekejaman pemimpin pada zaman regim Komunis Khmer Merah.


Barang dan gambar yang dipamerkan menggambarkan kekejaman yang tidak terperi, mengimbau kegiatan penganiayaan oleh pemimpin terhadap rakyat sendiri, yang terdiri daripada pelbagai kaum.


Di situ tunjukkan gambar mangsa dan kaedah kekejaman yang dilakukan, yang langsung tidak boleh diterima akal. Perbuatan mereka itu sangatlah kejam, sehinggakan saya tidak sanggup membaca dan membayangkan perbuatan mereka itu.


Berasal daripada sebuah sekolah, Tuol Sleng dijadikan Kem Konsentrasi sewaktu pemerintahan regim komunis yang berkuasa di Kemboja dari 1975-1979.


Kem Konsentrasi ini di bangun oleh Pol Pot, pemimpin puak Khmer Merah dengan tujuan menyingkirkan orang-orang yang tidak sefahaman dengannya. Nama Tuol Sleng dalam Bahasa Khmer berarti "Bukit Pohon Beracun".


Penyertaan dalam satu kegiatan misi kebajikan bersama Yayasan Salam di Kemboja, membawa kami ke kem berkenaan yang kini menjadi antara destinasi pelancong.

Selama tiga tahun di bawah pemerintahan kejam Pol Pot, (17 April 1975 - 7 Januari 1979), ramai rakyat Kemboja terkorban dalam tragedi pembunuhan beramai-ramai atau `genocide`. Kesannya dapat kita lihat di Muzium Genocide Tuol Sleng yang akan dikisahkan di sini.

Kemboja di bawah pemerintahan Pol Pot dikenali Khmer Rough. Pada zaman pemerintahan Pol Pot, mereka yang disyaki melanggar peraturan pemerintah, ditangkap dan dibawa ke penjara. Di situ mereka disoal siasat dan disiksa dengan pelbagai cara supaya mengaku salah. Mereka yang mengaku salah dibawa ke padang luas dikenali "Killing Field" untuk ditamatkan riwayat dalam siri pembunuhaan Genocide.

Dianggarkan 17,000 mangsa lelaki, wanita dan kanak-kanak, dibawa ke padang pembantaian (killing field) itu untuk ditamatkan riwayat selepas disoal siasat, didera dan dibiarkan kebuluran di penjara.


Antara penjara yang tersohor adalah Penjara S-21 (Tuol Sleng) di Phonm Penh, yang sedang dikisahkan di sini.

Muzium Genocide Tuol Sleng (S-21)

Tuol Sleng asalnya adalah sekolah tinggi kerajaan tetapi pada 1975, ditukarkan menjadi penjara oleh pemerintah Khmer Rouge di bawah petadbiran Pol Pot. Di situ mangsa disoal siasat, didera dan disiksa secara sistematik dengan pelbagai peralatan dan kaedah penyiksaan untuk mendapat pengakuan bersalah.

Mangsa dipaksa mengaku salah atas apa jua tuduhan yang dikenakan, kemudian butir-butir pengakuan direkodkan dan gambar diambil untuk dihantar kepada pemerintah sebagai bukti bahawa mereka adalah penderhaka dan seterusnya dibawa ke padang pembunuhan untuk ditamatkan riwayat dalam siri pembunuhan Genocide.

Dilaporkan 17,000 hingga 20,000 mangsa disiksa di penjara sepanjang pemerintahan itu. Selain Tuol Sleng, ada kira-kira 20 lagi penjara seperti itu di seluruh negara.

Kini bekas sekolah dan penjara itu berfungsi sebagai muzium peringatan kepada kezaliman dan kegilaan regim Khmer Rough. Selepas kejatuhan regim itu pada 1979, tidak banyak harta negara ditinggalkan.


Ini ialah sebahagian daripada bangunan sekolah Tuol Sleng yang dijadikan penjara yang boleh anda lihat sehingga sekarang. Bangunan empat tingkat ini kini dikenali Muzium Genocide. Ketika pemerintahan Pol Pot, seluruh sekolah ini bertukar menjadi penjara, menempatkan tahanan yang dipercayai melanggar peraturan pemerintah.

Perhatikan di kawasan tengah antara dua bangunan di bekas pusat penjara itum terdapat kubur tempat bersemadinya beberapa tahanan yang dijumpai mati pada saat kejatuhan pemerintahan regim Khmer. Rouge.

Binaan kayu seperti tiang gol itu sebenarnya adalah alat untuk menyiksa tahanan. Mangsa digantung pada leher dan ditarik dengan tali ke atas dan kemudian diturunkan semula, dan dilakukan berulang kali. Mangsa juga direndamkan kepalanya ke dalam tempayan berisi air sampai lemas. Penderaan begitu terus dilakukan sehingga mangsa tidak tahan dan mengaku salah. Sungguh kejam bukan?

Bukan itu sahaja banyak lagi cara penderaan yang dilakukan termasuk menggunakan sengatan binatang berbisa. Aduhh, tak dapat nak dibayangkan betapa kejamnya.


Penjara @ Muzium Tuol Sleng menyimpan rekod terperinci kejadian, terutama beribu-ribu gambar mangsa penderaan, yang kini dipamer kepada umum. Ini adalah bilik yang mempamerkan gambar-gambar wajah mangsa yang dibunuh. Benar-benar sedih melihat wajah-wajah muram mangsa. Setiap seorang yang dihukum, dirakamkan gambar untuk ditunjukkan kepada pemerintah sebagai bukti yang mereka telah menerima hukuman. Bilik ini terletak di aras bawah salah satu bangunan sekolah@ muzium Tuol Sleng.



Ini pula adalah salah sebuah bilik tahanan untuk orang kenamaan, disediakan sebuah katil besi dan ruang yang luas, berbeza dengan rakyat biasa yang diletakkan di dalam bilik semuat badan, cukup untuk duduk dan bangun. Bilik ini terletak di tingkat atas bangunan Tuol Sleng. Pada dinding bilik ini terdapat gambar mangsa ketika dibunuh, keadaannya sungguh ngeri dan menyedihkan.


Selain menyaksikan keadaan penjara, bilik tahanan, peralatan penyiksaan dan rantai besi, pengunjung dapat melihat pelbagai gaya penyiksaan yang dilukis oleh Vann Nath, salah seorang daripada mereka yang terselamat dari penjara itu.

Mereka Yang Terselamat di Tuol Sleng

Bermatlamat melahirkan rakyat taat dan bertaraf sama rata, Pol Pot berusaha menghapuskan semua orang yang ada hubungan dengan dunia luar, ahli perniagaan, golongan akademik, profesional, hatta ketua agama. Bahkan mereka yang mengamalkan perintah agama juga ditangkap dan dibunuh.

Selain itu sekolah dan gedung perniagaan dibakar, penghapusan etnik dilakukan dan semua rakyat dipaksa bekerja di ladang, dalam usaha beliau melahirkan negara pertanian. Namun pada 1979, pemerintahan regim itu tewas.


Enam individu dalam foto di atas ini adalah mereka yang dijumpai terselamat di Penjara Tuol Sleng sewaktu kejatuhan pemerintahan Pol Pot. Sedang tahanan lain kebanyakannya mati, namun mereka dijumpai masih hidup.

Benarlah kata pepatah, berpantang maut sebelum ajal.

#PenjaraToulSlengKemboja #GenocidediKemboja #SejarahPenghapusanEtnikdiKemboja #polpot #regimkhmerrough

© 2017 Riaseri. Registration on or use of this site constitutes acceptance of our Terms of Service and Privacy Policy. Email us at myriaseri@gmail.com for any enquiries. Kuala Lumpur, Malaysia. 

  • White Facebook Icon
  • White Twitter Icon
  • White Instagram Icon

Ikut kami di: