• Rashidah Ibrahim

NOVEL: LEDANG HARAPAN BAB 1

1



Angin kering yang membawa debu bertiup lesu. Panas menyengat membuatkan seluruh penghuni alam berasa tidak menentu.


LELAKI itu bergerak pantas. Langkahnya kemas dan matanya meliar bagai meninjau-ninjau sesuatu. Sesekali dia mengerling jam di tangan. Oh, harap-harap tidak terlambat! Dalam genggaman Nik Zakir hanya sebuah beg hitam yang kelihatan baru saja digunakan. Putik-putik keringatnya sedikit demi sedikit jatuh mengalir di pipinya akibat diusik hawa panas pada tengah hari itu. Laungan siren membingitkan suasana stesen Kereta Api Tanah Merah, Kelantan. Nik Zakir yang baru sahaja tiba di setesen itu, berjalan mencari tempat duduk kosong. Kemudian dia menuju ke bangku paling hujung di tempat menunggu. Nik Zakir melabuhkan punggungnya.


“Demi menara jiwa, kau jangan beralah. Tiada jalan pintas. Binalah ia dengan bongkah semangat, pasakkan tiang gelegarnya dengan juzuk ilmu, lindungilah segalanya dengan naungan rasa. Insya-Allah, kau bukan dalam golongan yang kerugian.” Kata-kata Tuk Guru Haji Hassan masih lagi terpahat dalam ingatan. Tidak mungkin dia melupakannya. Kalimah itulah yang menyejukkan jiwa dalam keadaan yang serba payah dan getir itu.


“Saya tidak punya apa-apa. Saya cuma ada semangat.”

“Allah bersamamu. Doalah. Itulah keajaiban yang diberi Allah untuk hambaNYA.”

Itu juga pesanan Tuk Guru yang sentiasa dipegang menjadi azimat.


Songkok hitam yang tidak pernah lekang di atas kepalanya ditanggalkan. Bahang yang terperangkap di dalam songkok itu terbebas keluar dan melegakan ubun-ubun kepalanya. Hilang sedikit rasa berbahang yang terpeluwap di dalam songkok itu. Penat berjalan kaki dari rumah ke stesen membuatkan kaki dan pinggangnya yang tadi dipasung kelenguhan terasa sedikit lega selepas melabuhkan punggungnya di atas bangku usang itu.


Nik Zakir melihat jam di pergelangan tangannya yang semakin dimamah usia. Jam tangan itu adalah pemberian arwah ibunya suatu masa dulu. Sudah hampir dua tahun jam itu dijaga. Dia mengeluarkan sehelai sapu tangan bercorak petak-petak daripada poket seluarnya. Kemudian mengelap permukaannya penuh hati-hati. Takut terkasar, calar pula kacanya. Sayangnya dia kepada jam tangan itu seperti sayangnya terhadap arwah ibunya. Pelbagai memori muncul di layar benaknya, tidak lain mengingati arwah ibunya.


“Mek bangga dengan Zakir. Walaupun tidak berpeluang belajar di sekolah kerajaan, Zakir gigih mengaji di pondok. Tak sangka, di sekolah pondok pun Zakir berpeluang belajar menulis dan membaca rumi seperti budak-budak lain. Atas kerajinan itu, ini hadiah untuk Zakir, pakailah sewaktu mengajar di pondok.” Layar ingatan Nik Zakir menggambarkan peristiwa sewaktu ibunya menghadiahkan jam itu. Terkejut dengan pemberian berkenaan, hatinya melonjak kegembiraan. Ketika itu dia baru tamat belajar di Sekolah Pondok Lubuk Bertam dan diterima mengajar sepenuh masa di situ.

Waktu menunjukkan satu jam lebih awal daripada masa perjalanan yang tercatat pada tiketnya. Pada tiket itu, waktu bertolak sepatutnya pukul dua petang. Di hadapan Nik Zakir, duduk seorang perempuan tua bersama seorang lelaki muda yang kelihatan seusia dengannya. Barangkali lelaki muda itu adalah anak kepada perempuan tua tersebut. Lelaki itu berpakaian segak dengan kemeja hijau dan bercelana hitam. Perempuan tua itu membetulkan kolar kemeja anaknya supaya kelihatan kemas. Nik Zakir hanya memerhatikan gelagat dua beranak itu dari jauh. Terdengar di hujung telinganya perbualan antara dua beranak itu.


“Bila sudah sampai di Mesir, jangan lupa suruh pak cik kamu telefon mak,” pesan perempuan itu.


“Nanti, Hamid jangan buat malu mek dan pak cik kamu. Belajar sungguh-sungguh. Kamu saja yang mek harapkan untuk belajar tinggi-tinggi,” pesan perempuan tua itu lagi.

Sesekali perempuan tua berselindang putih itu mengelap putik-putik air hangat yang sejak tadi bertakung di kelopak matanya. Mungkin berat hatinya untuk melepaskan anak itu pergi jauh untuk melanjutkan pelajaran.


Nik Zakir lantas terfikir jikalau dahulu dia dapat ke Mesir, apalah agaknya perasaan ibunya ketika itu. Keinginan Nik Zakir pada waktu itu amat besar iaitu mahu menjadi seperti rakan-rakannya yang dapat melanjutkan pengajian sehingga ke universiti di Mesir.


"Mek tinggalkan Zakir terlalu awal. Di kala Zakir masih memerlukan sokongan. Di kala Zakir masih memerlukan pembiayaan untuk melanjutkan pengajian. Mek, Zakir ingin menjadi seperti Ustaz Haji Muhammad. Zakir ingin menjadi seperti mereka yang lain. Mereka yang berjaya mendalami ilmu agama di Mesir dan mengutip pengalaman beramal ibadat di Mekah." Zakir bermonolog.


Nik Zakir teringat ketika dia belajar ilmu agama di Sekolah Pondok Lubuk Bertam. Mereka yang menuntut di situ terdiri daripada pelbagai peringkat umur. Tidak mengira had usia, semuanya mempunyai nawaitu yang satu iaitu untuk mendalami ilmu agama. Semasa Nik Zakir masih kecil, bapa saudaranya, Nik Alwi sering membawanya ke sekolah pondok itu. Pada mulanya niat bapa saudara membawanya hanya sekadar untuk dijadikan teman.


Kekerapan mengikuti Nik Alwi ke sekolah pondok itu membuka pintu hati Nik Zakir untuk turut mengikuti kelas mengaji di situ. Pada peringkat awal pendidikan, Nik Zakir hanya diajar membaca dan menulis jawi. Sebelum masuk ke sekolah pondok itu, dia iri hati melihat mereka yang tahu menulis dan membaca. Di atas minatnya, dia dimasukkan ke sekolah itu oleh bapa saudaranya. Ketika itu usia Nik Zakir baru mencecah lapan tahun.


“Nik Zakir, kalau ingin cepat mahir dan memperoleh keberkatan, teruskanlah dengan mengajar budak-budak. Dari situ, kamu dapat latih diri untuk mengesan kesalahan bacaan dan mudah mengingat,” kata Tuk Guru Haji Hassan.


Ketekunan Nik Zakir ketika belajar di Sekolah Pondok Lubuk Bertam sentiasa diperhatikan Tuk Gurunya. Ketika usianya mencecah 15 tahun, Nik Zakir telah diberi kepercayaan untuk mengajar anak-anak kampung yang masih kecil. Dia diberi tanggungjawab mengajar anak-anak itu membaca dan menulis jawi serta Rumi. Nik Zakir menerima kepercayaan itu tanpa berfikir dua kali.


“Segala yang baik datang hanya sekali!” Hatinya berbisik sendiri.

Baginya setiap pekerjaan adalah ibadah dan lebih-lebih lagi dia mengajar anak-anak kecil mengaji di atas Pondok Lubuk Bertam setiap petang. Sejak itu Nik Zakir mendapat gelaran ustaz. Di kalangan pelajar sekolah dan penduduk sekitar, dia juga terkenal dengan sifat ramahnya.


Sifat baik Nik Zakir sepanjang mengajar di Pondok Lubuk Bertam telah mengharumkan nama keluarganya sendiri. Dengan usianya yang boleh dikatakan masih muda pada waktu itu, Nik Zakir dikagumi penduduk kampung apabila dia sudah mampu mengajar. Di mana-mana, nama Nik Zakir menjadi sebutan. Mereka turut memuji ibu bapanya kerana berjaya mendidik Nik Zakir menjadi manusia yang berguna. Malah dia turut menjadi harapan keluarga.


Tiba-tiba bahu Nik Zakir ditepuk dari belakang. Nik Zakir menoleh. Kelihatan seorang budak berbangsa Cina tersenyum manis di hadapannya.

“Ada apa?” tanya Nik Zakir kepada budak itu sambil mengukir senyuman. Dia mungkin berusia sekitar 12 tahun, teka Nik Zakir.


“Abang, mau beli air?” tanya budak itu sambil menghulurkan sebiji botol berisi minuman sejuk.


“Air apa ada?” Nik Zakir menyoal.


“Oren ada, air mineral pun ada. Kalau abang minum, badan jadi sejuk,” kata budak lelaki Cina itu.


“Yang ini berapa harga?” tanya Nik Zakir.


“70 sen saja... mau angkat ke tak?” soal budak lelaki Cina yang memakai baju T putih dan berseluar hitam lusuh, tetapi bersih.


“Baiklah, angkat satu yang ini,” balas Nik Zakir sambil menghulurkan duit syiling bernilai 70 sen kepada budak Cina penjual air tadi. Kemudian, budak itu beredar menjaja air kepada orang lain.


Nik Zakir membuka penutup botol air yang dibelinya sebentar tadi. Dia meneguk perlahan. Selabaik air itu membasahi kerongkongnya, kedinginan mula menyelubungi segenap ruang tubuh Nik Zakir. Hawa panas berganti sejuk. Nik Zakir berasa lega. Kena pada masanya ketika dia dalam keadaan yang sangat haus dan panas.


Diteguknya sekali lagi air itu sehingga tinggal separuh botol. Mata Nik Zakir tertumpu kepada budak Cina yang masih berusaha menjual air minuman itu. Tiba-tiba Nik Zakir teringat yang dia pernah berhasrat untuk berniaga tetapi menukar haluan untuk merantau mencari tanah di Pahang untuk dikerjakan.


Terlintas di fikirannya, bagaimana dia boleh memulakan perniagaan tanpa sebarang modal. `Biarlah aku bermula dengan berkebun. Kalau ada peluang, mungkin suatu hari nanti aku boleh cuba berniaga,’ bisik hatinya.


“Ya Allah kau tunjukkanlah aku satu jalan yang kau redai demi mencari rezeki dan memakmurkan bumi milik Engkau ini!” Itulah yang selalu dilafazkan Nik Zakir dalam doa setiap penghujung solatnya.


Banyak perkara yang perlu difikirkan Nik Zakir bagi memulakan kehidupan baru apabila berhijrah ke Pahang nanti. Sejak ibunya meninggalkan dunia yang fana ini dua tahun lalu, dia sentiasa memikirkan mengenai bebanan ayahnya terhadap keluarga. Nik Zakir berazam untuk menggalas tanggungjawab menyenangkan keluarganya. Dia hanya mempunyai seorang adik lelaki bernama Nik Qudzair.


Selesai pengajian di Pondok Lubuk Bertam, Nik Zakir memasang cita-cita untuk meneruskan pengajian di peringkat yang lebih tinggi. Namun harapan itu terkubur setelah ibunya meninggal dunia. Dengan ilmu yang tidak setinggi mana, kerja bertani sahajalah yang boleh dilakukannya selain mengajar mengaji. Nik Zakir tidak kisah mewarisi kerjaya bapanya, sebagai petani.


Bapanya, Nik Hamzah mempunyai 10 ekar tanah kebun yang dikerjakannya sendiri dengan bantuan beberapa orang pekerja. Selain itu, Nik Hamzah yang dikenali dengan gelaran Pak Nik di kalangan penduduk kampung juga mempunyai kebun sayur. Dulu dia mengusahakan kebun itu bersama-sama arwah isterinya, Maimunah atau lebih dikenali Mek Munah.


Kerajinan Nik Hamzah bercucuk tanam turun kepada Nik Zakir. Namun tanah kebun 10 ekar milik bapanya dirasakannya tidak seluas mana. Tambahan adik-beradik ayahnya turut mengerjakan tanah itu. Nik Zakir tidak mahu berebut tanah untuk dikerjakan dengan bapa-bapa saudaranya. Justeru itu, dia mengambil keputusan untuk berhijrah ke Pahang.


Nik Zakir sangat rapat dengan ibunya. Namun hayat ibunya tidak panjang dan setahun selepas Maimunah meninggal, Nik Hamzah berkahwin lagi. Nik Zakir dan adiknya Nik Qudzai memanggil ibu tirinya, Mak Muda.

Bunyi isyarat kemunculan kereta api memecahkan lamunan Nik Zakir. Dia tersentap, bagaikan mahu pecah gegendang telinganya mendengar bunyi itu. Namun, mujurlah bunyi siren kuat. Kalaulah tidak, aku mungkin terleka dalam lamunan, silap-silap ketinggalan kereta api, bisik hatinya.


Keadaan stesen sudah sesak. Tidak seperti mula-mula dia sampai tadi. Nik Zakir menjinjing beg bajunya dan menuju ke kenderaan yang panjang itu. Semua penumpang berasak-asak cuba menyelinap masuk menerusi pintu kereta api.


Sekejap sahaja kerusi-kerusi mulai dipenuhi penumpang. Ruang laluan di tengah-tengah menjadi semakin sempit. Para penumpang tidak dapat bergerak pantas mencari kerusi kosong. Nik Zakir mula menajamkan matanya mencari tempat duduk. Titis-titis air peluhnya mula mengalir semula.


Rasa hangat dan bau terpengap menusuk hidung. Seluruh tubuh terasa lenguh dan sendi mulai sakit-sakit. Nik Zakir mula tidak selesa dengan keadaan yang berhimpit-himpit di dalam kereta api itu. Namun, keadaan seperti itu memang perkara biasa. Itu bukan pertama kali Nik Zakir menaiki keretapi. Dulu, dia pernah mengikut Tuk Gurunya ke Pahang menghadiri satu majlis kematian di sana.


Mata Nik Zakir makin meliar. Tempat duduk berupa kerusi berkembar dalam setiap barisan. Tiba di bahagian tengah gerabak, Nik Zakir terlihat satu tempat duduk yang kosong. Seorang lelaki berbangsa India kelihatan berada di tempat duduk di sebelah sisi tingkap. Nik Zakir lekas-lekas menuju ke tempat duduk itu, lantas melabuhkan punggungnya.


Nik Zakir membuka penutup botol air yang masih ditangannya. Mulutnya melafazkan doa Bismillahirrahmanirrahim. Dia meneguk air mineral yang tidak berwarna itu dengan perlahan. Air minuman yang pada mulanya sejuk, kini sudah kehilangan dinginnya. Dalam hati dia berkata-kata, alangkah nikmatnya jika air itu masih sejuk seperti baru dibeli tadi.


Dengan keadaan cuaca dan keadaan panas begitu, lorong tekaknya cepat haus. Mukanya terasa melekit dan berminyak. Peluh melembabkan kemejanya, menimbulkan rasa tidak selesa.


Lelaki berbangsa India itu memerhati kelakuan Nik Zakir. Menyedari keadaan itu, Nik Zakir menjaga setiap gerak gerinya. Selepas botol air itu ditutup, Nik Zakir menoleh ke arah lelaki India dalam lingkungan 20-an, seperti dirinya. Nik Zakir melemparkan secangkir senyuman. Lelaki India itu membalas sambil mempamerkan barisan giginya yang putih pada raut wajah yang gelap.


Jeritan siren kereta api sekali lagi membingitkan suasana. Ini menandakan kereta api itu sudah mahu bergerak meneruskan perjalanan menuju ke destinasi seterusnya. Semua tempat duduk dipenuhi penumpang. Kepulan asap keretapi terbebas melalui corong yang menegak ke atas. Setelah beberapa kali membunyikan siren, kenderaan itu pun bergerak dan bermulalah perjalanan Nik Zakir dari Kelantan ke Pahang.


Nik Zakir menjenguk sedikit ke luar tingkap semasa keretapi sudah bergerak perlahan. Namun lain pula dengan lelaki berbangsa India di sebelahnya. Dia kelihatan resah seolah-olah cuba menyembunyikan dirinya. Bila keretapi sudah jauh meninggalkan stesen, pemuda India itu menghela nafas lega. Nik Zakir hairan melihatnya. Dia menoleh ke arah lelaki India itu.


“Kenapa, nampak resah saja?” soal Nik Zakir.


Pemuda India itu hanya tersengih sambil menggelengkan kepalanya. Dia memeluk erat-erat sebuah beg dalam genggamannya. Kemudian Nik Zakir kembali menoleh ke hadapan. Mulutnya terkumat-kamit membaca sesuatu ketika dalam perjalanan. Nik Zakir mendoakan keselamatan perjalanannya dan penumpang-penumpang lain. Harapannya, agar semua selamat sampai ke destinasi masing-masing. Pemuda berbangsa India hairan melihat Nik Zakir. Mulutnya bergerak-gerak, namun tidak mengeluarkan suara.


“Baca apa?” Soal lelaki berbangsa India itu dengan dahi berkerut-kerut.

Nik Zakir meneruskan bacaan doanya sambil terus diperhatikan lelaki India itu. Setelah tamat berdoa, dia menekup kedua tapak tangannya pada muka tanda mengaminkan bacaan doanya.


“Baca itu, sikit doa... perjalanan kita ini jauh. Saya minta Tuhan selamatkan sepanjang perjalanan ini,” ujar Nik Zakir. Mulut pemuda India itu terlopong sambil mendengar penjelasan Nik Zakir. Kemudian pemuda India itu berpaling ke hadapan semula.

Suasana dalam kereta api agak membosankan. Pandang ke luar tingkap, hanya hutan. Naik kereta api bukan seperti naik kapal terbang. Tempoh perjalanan satu tempat ke satu tempat agak lama. Kebosanan mulai menguasai diri Nik Zakir, namun kesabaran disemat di hatinya.


Di dalam gerabak itu, kelihatan pelbagai ragam penumpang. Seorang lelaki tua yang duduk di kerusi barisan kanan, belum sampai setengah jam perjalanan, sudah berdengkur. Di kiri Nik Zakir, seorang perempuan Cina berusia lingkungan 40-an. Di atas pahanya meriba beg kotak. Belum setengah jam keretapi bergerak, perempuan Cina berkaca mata hitam juga kelihatan sudah terlena di kerusinya.


Dengan keadaan berbahang di dalam perut keretapi itu membuatkan Nik Zakir berasa sedikit tidak selesa. Melihat penumpang-penumpang yang sesetengahnya sudah terlena dibuai mimpi, Nik Zakir langsung tidak terikut gelagat mereka. Sedikit sukar baginya untuk terlena dalam keadaan panas begitu.


Lelaki berbangsa India di sebelah tadi, sudah awal-awal lagi terlena. Badannya sesekali bergerak-gerak ke kiri dan kanan mengikut ayunan keretapi. Kepalanya yang tadi lurus tegak memandang ke hadapan, sedikit demi sedikit terlentok menyenget ke dinding keretapi. Kebosanan Nik Zakir semakin terasa. Pandangan matanya sesekali melilau ke sekeliling dalam ruang keretapi. Sekadar memberi pandangan kosong.


Tiba-tiba dalam ingatannya teringat kepada sebuah buku bertajuk Asal-Usul Manusia karya Dr Maurice Bucaille yang belum dihabiskannya. Buku itu membincangkan hal pengkajian mendalam mengenai pertentangan-pertentangan lama antara sains dan agama. Sebelum dia keluar dari rumah tadi, Nik Zakir sudah mengelek buku itu di ketiaknya ke sana dan ke mari. Takut saja dia lupa membawa buku itu bersama. Namun, semasa dia duduk minum sebentar di dapur, Nik Zakir terlupa juga untuk mengambil buku tersebut yang diletak di atas meja makan. Kekecewaan Nik Zakir sedikit terukir di mukanya apabila teringatkan buku itu. Baginya, kalau buku itu dibawa bersama, boleh juga mengelakkan rasa bosan justeru menambahkan pembacaannya.


Nik Zakir menjengah ke luar tingkap. Selain hutan mengijau, dilihat ada juga rumah-rumah kayu usang yang dia sendiri tidak pasti diduduki atau tidak. Dia hanya dapat melihat dengan sekilas pandangan. Dia leka melihat ke luar tingkap sambil fikirannya melayang kepada kisah-kisah silam.


“Manan dengan Rosli dah pergi semalam. Harap-harap dua beradik tu sampai dengan selamat.” Ujar Haji Kamal kepada anak-anak muridnya. Haji Kamal adalah seorang ustaz dan guru pembimbing di Pondok Lubuk Bertam. Selepas kelas tasawuf pada malam itu, barulah dia teringat untuk mengumumkan mengenai hal keberangkatan Manan dan Rosli ke Mesir. Kedua-dua mereka anak orang berada.


Mereka mampu pergi belajar di dua tempat yang berbeza. Jadi,

dua beradik itu ada mengambil kelas di luar sekolah pondok. Mereka turut belajar subjek-subjek dalam sistem persekolahan kerajaan. Manan dan Rosli diberi kelas tambahan secara persendirian. Jadi mereka boleh dan layak untuk menduduki Sijil Pelajaran Malaysia atau dipanggil dengan nama ringkas, SPM. Sistem pendidikan sekarang menetapkan syarat lulus SPM kepada semua pelajar yang ingin menyambung pengajian ke universiti.


Walaupun ramai pelajar pondok di Lubuk Bertam itu hebat-hebat, tidak semua berkesempatan melepasi pengajian hingga ke universiti. Tanpa lulus SPM, bermakna bermakna pengajian anak-anak pondok ini, hanya habis sampai di situ sahaja, tidak dapat meneruskan pengajian di universiti di dalam negeri.


Mereka yang pandai selalu terus menyambung pengajian di Mesir dan mengambil pengajian SPM secara persendirian terlebih dahulu. Tanpa SPM, tamat saja pengajian mereka di sekolah pondok, hanya dua hal yang biasanya anak-anak ini lakukan, sama ada mereka ingin mewarisi pekerjaan mengajar di pondok atau keluar mencari pekerjaan untuk menyara hidup sambil mengamalkan apa yang mereka pelajari.


Suara azan waktu Asar memecah suasana petang yang agak panas itu. Semua anak-anak pondok yang baru saja selesai mengikuti kelas tasawuf bersama ustaz Haji Kamal turun dari madrasah. Mereka beramai-ramai bergerak ke masjid Lubuk Bertam yang tidak jauh dalam sekitar kampung itu juga. Sudah menjadi amalan anak-anak pondok ini menunaikan solat jumaat pada setiap kali waktu solat berkenaan. Orang yang kerap menjadi imam ialah Tok Guru Haji Muhammad Salleh.


Tok Guru Haji Muhammad Salleh adalah waris kepada pengasas sebenar Pondok Lubuk Bertam. Dahulu, arwah bapanya, iaitu Tok Guru Haji Muhammad Yusuf adalah orang pertama yang mengasaskan sekolah pondok itu. Namun, setelah Tok Guru Haji Muhammad Yusuf menemui ajalnya dua tahun yang lalu, anak sulungnya Haji Muhammad Salleh menjadi pengganti.


Tok Guru Haji Muhammad Salleh sudah menamatkan tahiyat akhirnya. Selesai sudah mereka menunaikan solat asar. Nik Zakir juga sudah selesai bersolatnya. Sebelum keluar dari masjid, para jemaah saling bersalaman sambil berselawat bagi mendoakan kesejahteraan ke atas junjungan nabi Muhammad SAW. Nik Zakir tidak berat tangan untuk bersalaman dengan semua jemaah lain.


Cuma ada segelintir anak-anak kecil yang masih lagi tidak mengerti hal dunia, selepas selesai solat, terus melenyapkan diri. Cepat-cepat mereka melangkah keluar dari masjid. Nik Zakir hanya perhatikan anak-anak kecil itu dengan pandangan kosong. Dia seolah-olah sudah faham perangai anak-anak kecil yang masih dalam asuhan untuk menjadi insan berguna.

Ruang dalam masjid semakin lengang. Ramai para jemaah yang sudah pulang. Anak-anak dari sekolah pondok itu juga mungkin sudah pulang ke asrama masing-masing. Tinggal hanya Nik Zakir yang kembali duduk di tengah-tengah tempat solat lelaki. Di tangannya memegang sekalung tasbih berwarna firus.


Kelihatan kalung tasbih itu masih cantik sedangkan kalung itu adalah pemberian bapa saudaranya, Nik Alwi dua tahun lepas. Nik Zakir melihat ke arah luar pintu memerhati Haji Kamal yang sedang berbual-bual dengan dua orang penduduk kampung Lubuk Bertam yang dia tidak begitu kenali. Sambil merenung ke luar, jarinya menyentuh setiap manik ke manik tasbih tersebut. Mulutnya pula terkumat-kamit, laju berselawat. Setelah kedua-dua orang kampung itu beredar, Haji Kamal menoleh dan melemparkan pandangan kepada Nik Zakir. Dia mendekati Nik Zakir. Ustaz itu melemparkan senyuman.


“Banyak berselawat ke atas Nabi SAW banyak pahalanya. Baguslah diamalkan tanda kita ingat padanya,” ujar Haji Kamal. Nik Zakir tersenyum sambil mengangguk-angguk tanda faham. Tiba-tiba, fikiran Nik Zakir teringat akan hal Manan dan Rosli. Dia menganggap kedua-dua beradik itu abang kerana mereka lebih tua daripadanya. Pandangan Nik Zakir terhadap Haji Kamal terus berubah. Dahinya sedikit berkerut seperti ada sesuatu yang ingin ditanyakan kepada ustaznya itu.


“Ustaz, kalau nak sambung belajar sampai ke universiti memang wajib ada SPM ke?” Mata Nik Zakir tajam memandang Haji Kamal. Matanya seoalah-olah inginkan sesuatu jawapan yang diharapkan.


Haji Kamal menghela nafas pendek sebelum menjawab pertanyaan Nik Zakir. Raut wajah Haji Kamal hanya tenang. Dia seolah-olah sudah tahu apa yang Nik Zakir impikan.

“Sistem pendidikan sekarang dah lain. Kalau zaman arwah Tok Guru Yusuf, SPM belum wujud lagi. Tapi, sekarang kerajaan dah tetapkan. Sudah ada syarat-syarat yang mereka buat. Syarat-syarat tu semua bagi menunjukkan kelayakan pelajar-pelajar. Yang mana beruntung dapat pergi ke Mesir tu, semua nasib menyebelahi mereka. Tapi, kalau kita yang tak ada SPM ni, tak apalah Zakir. Cuma yang membezakannya, kita tak ada kelayakan seperti itu. Tapi mereka ada. Apa-apa pun apa yang kita amalkan di sini, tidak ada apa-apa yang merugikan kerana ilmu agama juga penting, ” ujar Haji Kamal.


Nik Zakir terdiam seketika. Dia faham benar dengan penjelasan Tok Guru Haji Kamal. Dia sendiri tidak boleh berkata apa-apa memandangkan kerajaan sudah menetapkan sistem pendidikannya begitu. Namun, hatinya masih tidak puas kerana dia juga ingin mengikuti jejak Manan dan Rosli. Kalau dia tidak mengambil SPM bagaimana hendak memenuhi niat hatinya yang melonjak-lonjak ingin ke universiti suatu hari nanti. Dia tertanya-tanya, apakah pada waktu itu dia sudah terlambat untuk mengambil belajar subjek-subjek sekolah kerajaan?


Tiba-tiba Nik Zakir tersentap dari lamunannya. Matanya masih kelat namun rasa penat satu badan membuat dia tidak mampu menyambung lena. Sedar-sedar saja, kepala lelaki berbangsa India di sebelahnya terlentok di bahunya. Kemudian, lelaki India itu terjaga dari lenanya. Dia tidak sengaja terlentok hingga menyentuhi bahu Nik Zakir. Dia terpinga-pinga seperti matanya masih kabur kerana baru saja mencelikkan mata. Nik Zakir memandang lelaki India itu dengan senyuman.


“Maaf bos... maaf.” Lelaki India itu mengucap maaf kepada Nik Zakir. Dia kelihatan serba salah kerana kepalanya terlentok menyentuhi bahu Nik Zakir tadi. Tapi Nik Zakir hanya menggeleng-gelengkan kepalanya dengan senyuman kecil tanda tidak menjadi satu masalah yang besar.


Sekali lagi, bunyi siren kereta tapi bertempek dengan kuatnya membuatkan ramai penumpang masih sedang lena dibuai mimpi terjaga. Isyarat yang dibunyikan itu tadi menandakan mereka sudah sampai ke stesen yang ditujui. Nik Zakir mula menjenguk-jenguk ke luar tingkap bagi memastikan stesen itu adalah di Kuala Lipis. Segelintir penumpang sudah sedia bangun awal-awal untuk turun dari kereta api.

Masing-masing sibuk bangun sambil membawa turun beg dan barang-barang dari para-para tempat meyimpan barang di bahagian atas. Apabila keretapi berhenti, sekali lagi siren dibunyikan. Semua penumpang kini bangun dan berdiri dia bahagian tengah-tengah, celah tempat duduk dalam keretapi. Mereka berpusu-pusu turun. Bila saja seorang demi seorang berjaya melangkah keluar dari kenderaan panjang itu, keadaan stesen dilihat seperti kambing terlepas dari kandang.

Di hadapan Nik Zakir adalah pemuda India yang duduk di sebelahnya tadi. Kedua-dua mereka sabar menunggu hingga mereka masing masing dapat melepasi keluar pintu. Tubuh Nik Zakir kembali berpeluh. Keadaan dalam keretapi yang berhimpit menghangatkan ruang yang sempit itu.


Seketika kemudian Nik Zakir berjaya melolosi keluar daripada pintu keretapi, dia bergerak mencari ruang yang lebih luas. Nik Zakir memerlukan udara dan oksigen yang lebih segar untuk dihirup. Dia menuju ke sebelah hujung stesen yang berdekatan dengan tandas. Kemudian, Nik Zakir menarik nafas lega. Seluruh tubuh terasa lenguh menahan 10 jam untuk sampai. Turun daripada keretapi, barulah dia teringat yang destinasi sebeanarnya adalah di Jerantut.


“Tersilap pula turun. Tapi tak apalah, badan ini pun sudah tidak berdaya nak duduk lebih lama. Baik juga singgah di Kuala Lipis ni. Sekurang-kurangnya dapat tinjau keadaan bandar di sini,” bisik hati Nik Zakir. Setelah badannya rasa sedikit bebas, Nik Zakir menuju masuk ke tandas yang tidak jauh dari tempat dia berdiri lalu membasahkan mukanya. Dia terasa sedikit segar.


Tiba-tiba kedengaran bunyi riuh dari luar tandas. Nik Zakir berasa hairan. Sebaik sahaja selesai membuang air kecil, dia segera melangkah keluar daripada tandas. Nik Zakir mencari-cari arah bunyi riuh yang dia dengar tadi.


Kemudian matanya tertumpu kepada seorang lelaki samseng berbangsa India, sedang merentap kolar baju seorang mangsa. Bersama lelaki samseng itu, ada lagi dua orang seolah-olah mereka adalah kuncu lelaki samseng itu. Nik Zakir bertindak mendekati mereka. Alangkah terkejutnya dia melihat mangsa yang diserang itu adalah lelaki India yang duduk di sebelahnya semasa di dalam perut keretapi tadi.


Samseng tadi, hampir sahaja menumbuk perut lelaki yang sebangsa dengannya itu. Nik Zakir berasa bertanggungjawab menyelamatkan mangsa, lalu dia terus berlari mendekati mereka. Satu kali tumbukan padu, tidak sempat dihalang oleh Nik Zakir. Sewaktu tumbukan kali kedua, Nik Zakir sempat menepis tangan samseng yang berkepala botak itu.


Susuk tubuh samseng itu besar sedikit daripada Nik Zakir. Namun, dia sedikit tidak gentar untuk melawan setiap musuh yang mendekatinya. Kalau dulu, ayah dan bapa saudaranya, Nik Hamzah dan Nik Alwi bukanlah calang-calang orangnya. Segala jenis persilatan banyak dipelajari mereka. Ajaran silat itu adalah menjadi satu turun temurun keluarga. Nik Zakir turut diturunkan ilmu persilatan.

Ketiga-tiga samseng tadi cuba menyerang Nik Zakir dalam satu masa. Namun baru saja Nik Zakir membuka langkah silatnya, mereka menjadi takut dan berundur lalu beredar dari tempat itu. Mangsa kelihatan terketar-ketar. Nik Zakir cuba menenangkan lelaki asing itu. Degup jantung menggelepar. Nafasnya menjadi tidak tersusun. Gementarnya bukan kepalang.


“Kamu tak ada apa-apa?” soal Nik Zakir. Tatkala itu hanya desah nafas yang masih bersisa kedengaran.


“Okey, okey bos. Terima kasih banyak bos.”


“Nama, kamu apa?”


“Suppaiah.”


“Kamu datang sini nak buat apa?”


Suppaiah masih lagi menjawab dengan perasaan takut-takut, “Cari itu kerja.”


Nik Zakir hanya mengangguk-anggukkan kepalanya. Nik Zakir kemudiannya memesan kepada Suppaiah supaya berhati-hati.


“Ini tempat kita belum biasa lagi. Kamu kena lebih hati-hati. Sini kita tak kenal orang. Kamu jaga-jaga, ya.” Nik Zakir bertindak menepuk-nepuk bahunya. Suppaiah mengangguk tanda faham. Dia kemudian berterima kasih kepada Nik Zakir. Perlahan-lahan kakinya berundur ke belakang meninggalkan tempat itu sehingga dia hilang dari pandangan mata Nik Zakir.


Segala yang berlaku begitu pantas. Tuhan, terima kasih kerana menghantarkan aku insan yang berhati mulia! Suppaiah masih tidak percaya dirinya lolos daripada dibelasah. Mengenangkan detik itu lelah menyerbu ke jiwa. Segenap sendi terasa longlai. Tulang-temulang bagai berantakan. Oh… siapakah lelaki tadi? Dia memang luar biasa! Bisik hati Suppaiah.

0 views

© 2017 Riaseri. Registration on or use of this site constitutes acceptance of our Terms of Service and Privacy Policy. Email us at myriaseri@gmail.com for any enquiries. Kuala Lumpur, Malaysia. 

  • White Facebook Icon
  • White Twitter Icon
  • White Instagram Icon

Ikut kami di: