• Rashidah Ibrahim

Pengalaman Menginap di Rumah Bot Tasik Dal, Kashmir.



Sewaktu dimaklumkan akan menginap di `houseboat` atau rumah bot dalam jadual lawatan ke Kashmir, India sudah dapat membayangkan keadaannya, iaitu rumah di atas air.

Namun sedari awal, teruja ingin tahu bagaimanakah rupa rumah bot itu? Sesampai di Kashmir akhir November 2016 terjawablah persoalan. Nama itu diberi seiring keadaannya, yang dibina bertapakkan sebuah bot.

Jika rumah rakit di negara ini tapaknya daripada buluh berkeadaan terapung dan bergoyang di permukaan air dengan bangunan ringkas, sebaliknya rumah bot di Kashmir berukuran besar dan berkedudukan tetap dalam air. Ia tidak sedikit pun bergerak, menandakan lekat di satu tempat.

Ini kerana rumah bot dibina sebagai fungsi sebuah bangunan sama ada untuk didiami, sebagai rumah penginapan, tempat tinggal mahupun kedai.

RUMAH BOT@HOUSEBOAT

Dengan kedudukan rumah bot yang statik, memberi kelebihan kepada tetamu, bebas bergerak, berjalan atau berlari tanpa bimbang bergoyang.


Difahamkan binaan rumah bot ini, diilhamkan daripada rumah sampan atau rumah kapal pada zaman dahulu, di mana alat pengangkutan air itu diubah suai sebagai tempat tinggal manusia. Bot berlabuh di tepi sungai atau tasik dan penghuninyaterus tinggal di tempat itu untuk beberapa lama mengikut keperluan.

Di Kashmir, rumah bot kini menjadi tarikan utama pelancong. Ia bertumpu di kawasanTasik Dal dan Tasik Nagin serta beberapa lagi tasik. Bangunannya daripada kayu jenis Devdar yang kukuh dan tidak mudah reput.

Kumpulan peserta pakej percutian kami seramai 20 orang ditempatkan di tiga House Boat (HB) dinamakan HB Beauty Star, HB New Beauty Star dan HB Young Beauty Star. Kami berlapan ditempatkan di HB Beauty Star, mengandungi empat bilik. Setiap bilik,dua orang dan yang lain di dua rumah lagi.


Menurut pemilik HB Beauty Star, Khazir Mohammad Raga, 62, rumah bot Beauty Star diurus tiga beradik termasuk beliau. Setiap seorang mengendalikan rumah bot masing-masing.

“Ada kira-kira 1,500 rumah bot beroperasi di tasik ini sebagai rumah penginapan. Kesemuanya milik penduduk tempatan. Kami membina rumah bot ini dengan harga sangat mahal,” ujarnya.

Beberapa catatan pengalaman di laman blog, memberi ulasan tidak selesa dengan keadaan buruk dan kurang terjaga rumah bot di Tasik Dal namun mujurlah rumah bot yang kami huni cantik dan bersih.

KEADAAN RUMAH BOT

Kehalusan ukiran kerawang pada binaan kayu menerbitkan imej gah pada bahagian hadapan bangunan. Ukiran sarat menerbitkan keterujaan di hati kerana ia membiaskan aura sebuah istana lama.


Dilihat sepintas lalu, corak ukiran tidak jauh beza dengan di tempat kita. Namun hakikatnya, bagi sesetengah rumah bot dindingnya mengekalkan gaya ukiran pelbagai arca dan motif seperti daun dan burung yang dikaitkan dengan kehidupan maharaja Mughal pada zaman dahulu.

Disebabkan rumah bot yang mewah dibina bercampur dengan rumah bot yang usang dan tidak terjaga, maka mencacatkan sedikit keseluruhan pemandangan.

Untuk sampai ke rumah bot, tetamu dari jeti dibawa menaiki perahu atau shikara, iaitu sebutan di kalangan penduduk setempat. Shikara berhenti rapat ke pelantar yang dibina bersambung dengan tangga di hadapan rumah bot.


Setiap kali ketibaan kami, sama ada pada hari pertama atau sewaktu pulang dari acara lawatan atau hendak bergerak ke daratan, Khazir selaku pemilik rumah penginapan itu, sentiasa ada mengawasi kami sementara kakitangannya membantu mengangkat barang.

PENGALAMAN

Mula-mula menaiki shikara sedikit cemas, tetapi sesudah beberapa kali berulang-alik dari jeti ke rumah bot sepanjang empat hari tiga malam di situ, lama kelamaan sudah terbiasa.

Khazir berkata, rumah bot yang ditawarkan untuk penginapan di tasik itu sekitar 1,500 tetapi jumlah keseluruhan rumah bot meliputi kedai, rumah penginapan dan hotel, mencecah puluhan ribu.


Bilangan tetamu pelancong pada musim sejuk sangat berkurangan. Menjelang malam, terasa serba tidak selesa.

Sejuk mencengkam sehingga ke tulang hitam. Permaidani yang dipijak terasa lembap dek sejuknya cuaca.

Mereka masih menggunakan alat pendiang konvensional, iaitu bekas silinder logam untuk menyalakan api dengan kayu.

Diperbuat daripada zink, mempunyai penutup, lubang udara di bahagian atas dan saluran asap yang membawa ke luar rumah.

Menurut pengurus HB Beauty Star, Javed Mohammad Raga, alat pendiang sebegitu diguna sejak lama dulu. Ruang tamu dan semua bilik tidur menempatkan alat pendiang seperti itu. Kekurangannya, api yang dipasang tidak bertahan lama, sekadar dua tiga jam sahaja kemudian padam semua dan suasana kembali sejuk.

Mujurlah tilam kami dihangatkan oleh kuasa elektrik, maka tidaklah kami tidur dalam kesejukan. Awas kalau pemanas tilam bilik anda rosak, akan mengigillah kesejukan sepanjang malam seperti yang berlaku kepada sekumpulan kawan kami.

Javed bertanggungjawab memasang api pendiang apabila tetamu berada di dalam rumah, tetapi hanya pada waktu tertentu misalnya sewaktu kami pulang dari program lawatan dan sebelum tidur.

Dia juga mengangkat hidangan makan dan membersih meja makan sepanjang kami menginap di rumah bot berkenaan.


#rumahboat #rumahbottasikdalkashmir #tempatmenginapistimewadikashmir #tasikdal #pengalamanmelancongdikashmier #shikara #keunikanhouseboatkashmir

© 2017 Riaseri. Registration on or use of this site constitutes acceptance of our Terms of Service and Privacy Policy. Email us at myriaseri@gmail.com for any enquiries. Kuala Lumpur, Malaysia. 

  • White Facebook Icon
  • White Twitter Icon
  • White Instagram Icon

Ikut kami di: