• Rashidah Ibrahim

Pokok Cemara Kuasai Landskap Taman Istana Generalife, Al-Hambra.



Berada jauh sedikit daripada bangunan lain dalam kompleks istana Alhambra di Granada, Sepanyol ialah istana Generalife. Lebih dikenali istana musim panas atau summer palace, ia menonjolkan tanaman pokok cemara yang menguasai landskap Taman Istana Generalife.

Istana Generalife adalah destinasi kunjungan pelancong yang popular di Alhambra. Fungsi utamanya adalah sebagai tempat rekreasi serta istirahat raja-raja Nasrid.

Mengapa disebut summer palace, kerana kedudukannya di paras bukit lebih tinggi daripada bangunan lain di situ. Justeru persekitarannya juga lebih dingin. Pada musim panas, Raja Nasrid akan beralih ke istana ini untuk beristirahat.

Istana dan taman Generalife diasaskan pada zaman pemerintahan Muhammad III (1302-1309) dan direka hias semula oleh Abu I Walid Isma’il (1313-1324). Namun yang kelihatan kini adalah hasil pengubahsuaian demi pengubahsuaian yang telahpun mengubah bentuk asal taman itu.

Terkini menampilkan penggunaan pokok cemara atau pokok cypress yang berdaun seperti jarum. Juga dikenali pokok krismas, teknik pemangkasan membentuk tembok pokok yang menjadi penghalang antara ruang dalam kawasan taman ini. Lebatnya pokok sehinggakan dilihat, pokok cemara menguasai landskap Taman Istana Generalife.


Pemandangan yang dilihat sewaktu berjalan menghala ke istana Generalife.

Dari segi sebutan, nama Generalife memberi pengertian tersendiri kepada kalangan elit Muslim pada zaman kegemilangannya. Mereka adalah pemilik hartanah yang luas dengan satu kawasan padang ragut rumput haiwan yang diternak, tanaman dan hortikultur. Kawasan tanaman ini dikenali ‘almunyas’ bermaksud kebun sayuran, buah dan ladang di pinggir bandar. Di samping menunjukkan status istimewa pemiliknya, Generalife menjadi tempat mereka bersantai dan melepaskan diri daripada kesibukan seharian.


Pokok pagaran jenis berdaun halus menjadi batas pemisah antara jalan raya dan kawasan pokok. Bangku taman disediakan untuk pengunjung.

Bagi raja Nasrid, di taman rekreasi inilah baginda lari daripada tekanan mengendalikan mahkamah keadilan Alhambra. Pada masa dahulu, di kawasan rekreasi itu juga terdapat lapangan memburu dan bersiar. Istana Generalife sengaja dibina di lokasi terpencil daripada istana Alhambra agar Sultan mendapat hak maksimum untuk bersendiri dalam aura dekat dengan alam.


Dinding selari pintu masuk tandas, seakan bersambung dengan tembok tinggi daripada pokok cemara atau cpress

Menapak jauh dari kawasan istana Alhambra, menuju ke istana Generalife, disambut landskap taman indah, dengan pokok pagaran cemara (cypress atau pokok krismas) yang tinggi melepasi paras kepala. Bahagian tertentu pokok tertentu dipangkas rata membentuk tembok gerbang, diiringi terusan air yang tidak putus dan kolam air pancur, disambut taman dalaman (courtyard), masih dengan unsur tarikan utama, iaitu kolam air pancur, kawasan taman dalam ini dihiasi pokok bunga renek.


Rakan kembara, Izan bergaya di sisi tembok yang diselaputi pokok dan bunga.

Wafa pemandu pelancong kami berkata, nama Generalife berasal daripada kalimah Arab, Jan-Nat-al-Arif bererti taman syurga yang megah dan diterjemahkan juga sebagai taman arkitek (the gardens of architect).

Terletak berdekatan tembok utara Alhambra yang saling dipisahkan oleh Sungai Ravin, istana Generalife telah melalui proses pembesaran beberapa kali pada zaman Islam.


Pemandu Pelancong kami berbangsa Maghribi, Wafa.

Wafa menerangkan, kompleks taman istana Nasrid menepati perlambangan syurga dari sudut penerangan al-Quran, tidak hairanlah namanya diilham daripada kalimah jannah (Jannat al Arif). Ciri taman, mengandungi aneka pokok bunga berwarna-warni dan kolam berair pancur di sepanjang sisi taman.

“Dalam kehidupan Muslim, tidak boleh dipisahkan dengan air. Ia adalah sumber minuman dan penyucian (wuduk). Justeru hampir semua istana Nasrid dilengkapi terusan dan kolam di taman luaran dan dalaman. Kolam itu menerima bekalan air bersih daripada pergunungan Sierra Nevada," tambahnya.


Suasana dalam taman yang menonjolkan unsur utama taman Islam iaitu air terusan. Kelihatan pokok pangkasan menjadi tembok penghadang.

Difahamkan, kebudayaan bangsa Moor pada abad itu telah memperkenal sistem hidrolik berteknologi tinggi untuk pengairan. Air dari Sungai Darro di kaki pegunungan Sierra Nevada, dibendung dan dipam ke tapak di puncak bukit itu, sebelum dibawa mengalir mengairi Alhambra.

Kolam air pancur sentiasa bergenangan, dan kata Wafa lagi, air yang ada semuanya mengalir sama ada di terusan mahupun kolam atau takungan, sekaligus memastikan kebersihannya,


Kolam air pancur daripada kawah bermotifkan bunga teratai.

Fungsi lain air adalah sebagai pengimbang thermal, wap air dilepas dari kolam pada siang yang panas, mendinginkan persekitaran. Sementara malam terutama musim panas, ketika permukaan tanah mulai melepaskan haba, air dari taman dalaman (courtyard) ini menyerap tenaga haba menjadikan suhu sekitar lebih nyaman.

Percikan air pancur semburan jet (jets spray) menambah kadar wap, menyejukkan udara selain dipengaruhi terusan sempit melewati ruang berlantai pualam yang mendinginkan suasana.


Reka bentuk tembok gerbang berderet, satu lagi ilham tarikan taman. Kawasan siar kaki unik dengan turapan batu sungai.

.

Wafa turut membawa kami melihat sistem terusan yang mengalirkan air dari puncanya di atas bukit Sierra Nevada. Sebelum sampai ke kawasan istana, terusan dihubungkan oleh beberapa takungan berpusar untuk fungsi mengasingkan kotoran dan menjernihkan air. Sebelum itu Wafa menunjukkan kepada kami dari jauh sebuah tangki penting yang sentiasa dikawal ketat.

Di kiri kanan terusan, terserlah kehijauan warna pokok cemara yang tumbuh segar. Daun pokok ini yang menyerupai jarum sentiasa dipangkas membentuk pagaran dan gerbang. Memang teruja berjalan di bawah gerbang pokok berkenaan. Laluan pejalan kaki pula dikemaskan dengan butiran batu kecil yang disusun membentuk corak. Ternyata di setiap sudut, sungguh berseni.


Pokok cemara atau cypress juga dikenali pokok krismas.

Difahamkan, estet raja Nasrid merangkumi empat taman sayuran, yang mendapat bekalan air daripada terusan yang sama dengan terusan di bandar Palatine.


Pokok seakan lotus melengkapkan keindahan kolam.

Generalife menyatukan semua elemen diraja mengikut keperluan dan keselesaan Monarki Nasrid, dengan pelan lantai iseiring istana Alhambra. Istana musim panas ini mewakili taman Moorish tertua yang masih wujud namun rupa bentuknya mengalami perubahan demi perubahan mengikut waktu.

Kompleks Generalife meliputi

* the Court of the Water Channel atau Water-Garden Courtyard, dengan kolam panjang berbingkaikan batas bunga, air pancur dan pavilion.

* Sultana's Garden atau Courtyard of the Cypress yang menggambarkan gaya medieval Taman Parsi di Al-Andalus.

* Taman yang kelihatan hari ini direka bentuk bermula 1931 yang disempurnakan Francisco Prieto Moreno dalam 1951.

* Laluan pejalan kaki diturap dalam gaya tradisional Granada menggunakan butiran batu putih dari sungai Darro dan hitam dari Sungai Genil.

* Berpersekitaran harmoni dengan aura suasana luar bandar, Generalife seiring kehebatan landskap lain di Alhambra.

Sangat bertuah dapat melihat kehebatan istana zaman kegemilangan Islam Andalusia. Bagi sesiapa sahaja yang berhasrat mengunjungi Alhambra, pastikan tidak lupa mengunjungi istana musim panas, Generalife.

#pokokcemara #tamandirajaNasrid #IstanaGeneralife #istanamusimpanas #Generalife #AlhambraTurki #Ilhamtamandiraja

© 2017 Riaseri. Registration on or use of this site constitutes acceptance of our Terms of Service and Privacy Policy. Email us at myriaseri@gmail.com for any enquiries. Kuala Lumpur, Malaysia. 

  • White Facebook Icon
  • White Twitter Icon
  • White Instagram Icon

Ikut kami di: