• Rashidah Ibrahim

Rahsia Gerbang Dom Bersalut Besi Kerawang



Berjalan-jalan di bandar Chiang Mai, Thailand untuk `window shopping` tiba-tiba langkah terhenti sejenak. Saat itu mata terpandang sebuah kedai setingkat yang di hadapannya terdapat pintu gerbang berbumbung kubah keemasan di saluti jalinan rangka logam berukir kerawang. Semacam ada rahsia mengenai kehadiran gerbang dom bersalut besi kerawang di destinasi ini.

Melangkah masuk, disambut laluan beturapkan kayu yang disusun melintang, memberi kemudahan kepada pengunjung untuk berjalan dengan selesa, sementara di kiri kanannya adalah taburan batu kerikil. Gerbang kubah ini membentuk kelainan, sekaligus menjadi mercu tanda yang membezakan kedai berkenaan dengan kedai-kedai lain di sekitaranya.


Di laman terdapat sebuah takungan air daripada kayu, sebagai unsur hiasan kejur taman. Ia ditempatkan di bawah sepohon pokok yang batangnya berduri tajam. Pada pokok berkenaan digantungkan pokok janggut sulaiman iaitu sejenis pokok yang hidup tanpa tanah.

Sementara di tepi-tepi dinding ditempatkan pelbagai pokok hiasan jenis berdaun untuk menegaskan panorama taman. Selain menghijaukan taman fungsi pokok itu adalah untuk menapis haba panas dari luar. Di taman itu juga kelihatan panel para-para atau pergola kerawang bersilang, yang bersedia untuk menjadi junjung kepada pokok jenis menjalar.


Pada tembok pagar yang menghala ke luar terdapat ruang pamer bertutup panel kaca lut sinar. Didalamnya terpamer lampu gantung dan teko hiasan. Permukaan tembok diberikan warna tema pink atau merah jambu, sekali gus menegaskan kelainan suasana persekitaran destinasi itu. Kehadiran rimbunan tumbuhan malah memberi suasana redup dan nyaman.

Mengapa landskap destinasi kedai ini diberikan penataan begitu unik sekali, siap dengan gerbang kubah yang sarat berukir? Rahsianya adalah sekadar sebagai penyeri suasana bagi menarik kunjungan pelanggan yang lalu lalang. Melihatkan gaya reka hias yang lain daripada kebiasaan pastinya sesiapa sahaja akan terdorong untuk masuk melihat suasana kedai di dalam.


Kedai apakah agaknya di destinasi itu? Sesuai dengan penggayaan hiasan yang berlebihan di kawasan luar, tentunya ia adalah kedai yang berkait dengan barang hiasan dalaman. Antara dijual adalah lampun gantung, koleksi lukisan tangan, perhiasan kecil dan besar daripada kayu, fabrik dan bahan semula jadi. Turut dijual sarung kusyen hiasan, kasut, unsur lukisan dan banyak lagi.


Lihat pula gambar di bawah, ini adalah pintu masuk utama kedai yang menampilkan reka bentuk dom keemasan bersalut jalinan besi kerawang, disempurnakan dengan unsur hiasan tunjuk langit juga daripada logam. Keseluruhan bangunan diberikan warna tema kewanitaan, iaitu merah jambu pekat.

Keseluruhan bangunan diberikan penataan landskap segar menghijau, terserlah menerusi rimbunan tumbuhan yang ditanam di sisi dan atas tembok batu.


Jika berminat, boleh saja kita jadikan penataan landskap ini sebagai ilham untuk direka bentuk di kediaman sendiri.

#gerbangdombesikerawang #kedaihiasandalamandiChiangMai #Landskapkedai #kedaiwarnapink #DestinasiChiangMai

© 2017 Riaseri. Registration on or use of this site constitutes acceptance of our Terms of Service and Privacy Policy. Email us at myriaseri@gmail.com for any enquiries. Kuala Lumpur, Malaysia. 

  • White Facebook Icon
  • White Twitter Icon
  • White Instagram Icon

Ikut kami di: