• Rashidah Ibrahim

Rahsia Jalan Pintas Untuk Maju


Sanggup meninggalkan perniagaan terdahulu yang mendapat kutipan sehingga berpuluh ribu ringgit sehari semata-mata mahu berhijrah kepada perniagaan lebih menenangkannya. Tidak ramai pengusaha bersedia berbuat begitu namun Siti Noorikha Mahbob, 34 , berjaya melakukannya demi untuk mendapatkan keberkatan.

Mengulas lanjut punca beliau meninggalkan perniagaan lama di bidang makanan, menurutnya lagi, walaupun perniagaan itu adakala maju dan mendapatkan hasil banyak tetapi tidak pernah cukup, jauh sekali dapat menyimpan.

Setelah bertahun-tahun begitu, kata Siti Noorikha, akhirnya beliau terdorong untuk mengubah pendekatan perniagaan kepada yang bebas syubhah. Tidak disangka langkah itu, dengan pantas dapat meningkatkan pengeluaran produk coklat cip yang kini semakin mendapat sambutan.

Sebagai Pengarah Urusan Khaliff Cookies, Siti Noorikha, berkata, beliau dan suami Mohd Shahrul Azri bin Othman , 35 mengambil keputusan untuk berhijrah mengusahakan perniagaan mengikut syariat Islam. Kesedaran tiada keberkatan dalam rezeki selama ini, punca mereka mengambil tindakan itu.

Sebelum mengusahakan Khaliff Cookies, dia yang membesar dalam keluarga peniaga, menjalankan perniagaan katering.


“Banyak acara jualan kami sertai misalnya ekspo di stadium sempena perlawanan bola sepak dan sebagainya. Memang lumayan. Boleh dapat berbelas ribu sehari masalahnya duit tidak pernah lekat,” luahnya, sewaktu ditemui di kilang mininya di Kampung Melayu Wira Damai, Batu Caves, Selangor.

Setelah beralih kepada cara perniagaan mengikut Islam dan mengelak bahan syubhah dalam produk makanan yang dihasilkan, terasa sangat perbezaannya.

“Punca berhijrah ialah selepas kami hantar anak ke sekolah tahfiz. Kami mulai sedar sebelum ini beri pelanggan makanan diragui, menggunakan tepung ada bahan kimia berbahaya, Benzoyl Peroxide. Dulu beli bahan daripada orang bukan Muslim dan jual produk kepada orang Muslim. Ini bukan sahaja tidak baik untuk kesihatan bahkan boleh membuat hati jadi kotor. Saya bersyukur dapat hantar anak ke sekolah tahfiz kerana baru saya tahu mengenai makanan boleh dimakan dan tidak boleh.

“Kini, saya rela beli bahan mahal, asalkan bebas syubhah. Apabila kita beri orang lain makanan yang baik-baik, Allah bantu kita. Tahun pertama kami buat produk Khaliff Cookies, Allah sudah tunjukkan jalan seperti ada sinar atau lorong terbuka luas untuknya pergi lebih jauh dalam perniagaan itu. Allah temukan kami dengan orang baik-baik, yang memberi jalan dan peluang untuk luaskan perniagaan.

“Misalnya ditemukan dengan orang media, diberi peluang muncul di TV Hijrah, sejak itu saya didatangi ramai pihak menyatakan minat terhadap produk Khaliff Cookies, sekali gus mempermudah urusan saya untuk meningkatkan pasaran.


“Kini kami sudah ada pelanggan dari Brunei dan Singapura, yang bersetuju mengambil produk ini, selain sudah dapat masuk di kedai stesen Petronas,” ujarnya sambil menambah beliau belajar resipi membuat produk itu daripada kakak iparnya, yang kemudian ditambah baik menjadi resipi sendiri.

Tidak sampai setengah tahun, sudah nampak tanda-tanda perkembangan apabila semua pelaksanaan perancangan berjalan lancar, ulasnya.

“Dalam pada itu saya tidak lokek berkongsi rahsia dengan kawan-kawan, saya galak mereka berhijrah dalam pengurusan produk masing-masing. Mengelak penggunaan semua bahan diragui demi dapatkan keberkatan hidup sebagai peniaga dan pengusaha Muslim,” ulasnya.

Rahsia lain Khaliff Cookies disukai pelanggan katanya mutu rasanya yang lemak dan rangup, tidak terlalu manis dan tidak terlebih rasa, coklat misalnya. Khaliff Cookies boleh didapat dalam ukuran pek rm10 berat bersih 110 gram Dan kotak 550 gram.

Khaliff Cookies antara lain, menerima tempahan membuat aneka coklat cip, mengadakan kursus masakan, menerima tempahan cenderamata majis perkahwinan, majlis ulang tahun dan hamper. Produk berkenaan diusahakan menerusi syarikatnya Siti Edar Resources.




13 views

© 2017 Riaseri. Registration on or use of this site constitutes acceptance of our Terms of Service and Privacy Policy. Email us at myriaseri@gmail.com for any enquiries. Kuala Lumpur, Malaysia. 

  • White Facebook Icon
  • White Twitter Icon
  • White Instagram Icon

Ikut kami di: