• Rashidah Ibrahim

Rumah Tropika, di Tasik Ilmu.


Tenang lagi damai, suasana Tasik Ilmu di kampus Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Dengan suasana alam semula jadi berkonsepkan Eko-Tropika, pemandangannya luas saujana mata memandang.

Ada satu penguat tarikan di Taman Tasik Ilmu kampus induk UTM di Skudai, Johor itu. Ya, kehadiran Rumah Tropika, menjadi tonggak tumpuan!


Rumah tropika, rumah tradisional Melayu. Indah menawan dengan hasil ukiran kerawang halus berseni. Kemasan cat minyak warna hitam pekat berfungsi menguatkan kayu, agar kalis cuaca panas dan hujan. Tiang tinggi lantai panggung, konsep rumah tradisional dahulu kala, bertujuan meninggikan lantai rumah.

Tiang tinggi melambatkan ruang kediaman dinaiki air sewaktu banjir kerana rumah tradisional pada masa dahulu dibina berhampiran kawasan sungai. Pangkal tiang dipasangkan tapak batu, mengelak tiang kayu cepat rosak. Kalau kayu dibiarkan terbenam dalam tanah, sudah tentulah lama-lama ia mereput dek terkena air.

Tingkap luas sepenuh dinding dengan daun tingkap ram, membawa masuk udara dan cahaya. Ditambah pula lubang angin pada ambang atas dan bawah tingkap, maka suasana dalaman rumah sentiasa berangin.

Di mana lagi yang uniknya pada rumah ini, tentunya pada papan pemanis di sepanjang birai bumbung.


Beranda luas yang dibina mengunjur ke tasik, dipasangkan pengadang berukir tebuk. Kegiatan perjumpaan atau diskusi dengan kumpulan kecil boleh diadakan di sini dengan rasa aman. Halaman di bawah sejuk dengan kehadiran pokok heliconia. Sementara di atas pula diteduhi daun pokok tinggi melebihi paras bumbung.


Wah berada di sini ternyata nyaman. Julai pokok sengaja dibiarkan rendah di sekeliling, agar dedaun yang melingkungi lantai anjung menjadi peneduh. Ditambah pula dengan kehadiran air tasik yang tenang, tambah mententeramkan hati.


#rumahtradisional #rumahkayu #rumahtropika #rumahberukir #bangunantradisional #papanpemanis #ukirkerawang

© 2017 Riaseri. Registration on or use of this site constitutes acceptance of our Terms of Service and Privacy Policy. Email us at myriaseri@gmail.com for any enquiries. Kuala Lumpur, Malaysia. 

  • White Facebook Icon
  • White Twitter Icon
  • White Instagram Icon

Ikut kami di: