• Rashidah Ibrahim

Sarung dulu pakaian budaya, kini kian dilupa.


Memakai kain sarung kian dipandang lekeh, dianggap tidak bersopan atau kampungan, pada hal kain sarung pada masa dahulu adalah pakaian budaya yang diguna pada hari keraian dan majlis rasmi. Kini nampaknya ia kian dilupa.

Sarung selalunya merujuk kepada kain pelikat, kain batik sarung atau kain sarung yang dijahit sepasang dengan baju kurung atas. Adalah wajar andai sarung yang dulunya pakaian budaya, dikembalikan kegemilangannya agar tidak terus dilupa.

Maksud sarung di sini adalah sebidang kain yang dijahit lurus sama lebar dari hujung atas ke bawah, membentuk lubang yang membolehkannya disarungkan ke tubuh melalui kepala atau kaki. Daripada cara pemakaian itu (disarungkan), mungkin menjadi asbab kepada tercipta nama kain sarung.


Pemuda-pemudi zaman moden menggayakan sarung,

Ingat lagi, wanita dulu guna kain batik sarung dikenakan dengan kebaya pendek atau kebarung yang diikat di pinggang, kini tidak ramai pandai mengikatnya secara manual. Kalau ada pun diubah suai dengan dijahit siap menjadi kain lipat berlapis atau belah.

Pada masa dulu baju kurung juga dipakai dengan kain sarung berombak yang dilipat dan disusun dengan tangan di sisi kiri atau kanan pinggang. Kain lipatan berombak itu terbentuk secara manual dengan bantuan empat jari, dipakai dengan baju kurung tradisional, sementara kebarung atau kebaya singkat dipaka dengan sarung secara lipatan berselisih di hadapan (tengah) atau tepi, yang hujungnya diselitkan dipinggang.

Penggunaan tali pinggang yang tidak sempurna, risiko boleh terlondeh, terlorot atau tercabut. Justeru zaman ini hampir tiada lagi sanggup bersusah payah memakai sarung diikat manual seperti zaman 40 dan 50-an, kerana bukan saja rumit tetapi leceh.

Kini rata-rata kain sarung kini diganti dengan kain yang dilipat sedemikian dan dijahitkan pengeras pinggang. Pemakai hanya perlu menyarungkannya dari bawah dan mengenakan penyangkut. Jadi, ia selesa dipakai ke pejabat mahupun majlis.


Empat nona manis, berkebaya dan berkain sarung.

Zaman beredar, kini diperkenalkan pelbagai cara ikatan kain yang dipermodenkan, namun ia lebih kepada fesyen daripada kesempurnaan. Biasanya untuk digayakan di tepi pantai dan di majlis tertentu menggunakan kain batik lepas, bukan sarung.

Bulan lalu, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan menganjurkan program Keretapi Sarong #SayangMalaysia 2017 peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor. Diadakan sempena sambutan Hari Malaysia ke-54. Pogram berjaya menarik penyertaan kira-kira 1,000 peserta daripada pelbagai peringkat dan latar belakang termasuk masyarakat antarabangsa yang memakai kain itu mengikut kreativiti masing-masing.


Bagaimana kalau kita muncul di khalayak, dengan berkerudung dan berselempang sarung seperti ini?

Turun ke majlis sebagai peserta kerana mahu turut merasai pengalaman memakai kain sarung beramai-ramai sambil merakam memori unik dalam satu acara budaya yang kian dilupa, rasa teruja

Berseorangan tanpa diiringi kawan, agak janggal pada mulanya apatah lagi majoriti peserta adalah muda-mudi. Melihat gelagat mereka memakai sarung pelbagai gaya, timbul rasa kagum dengan sokongan itu.

Meski bukan lagi zaman mereka memakai sarung, namun ternyata masing-masing secara rela hati memakainya dengan cara lama dan kreatif, sekaligus mengingati amalan pemakaian datuk nenek dahulu kala.

Hadir dengan memakai elemen sama, akhirnya mereka saling bertegur sapa lalu menjadi rakan biarpun sebelumnya saling tidak mengenali.

Penyelia, Azimah Ariffin, 51 yang datang dengan dua remaja termasuk anaknya. Beliau mengambil cuti bekerja semata-mata untuk menyertai program promosi sarung itu. Anaknya, Nur Sharima Azira Sharipol, 18, dan seorang rakannya kelihatan teruja menggayakan pakaian daripada kain sarung, untuk bersama ramai lagi peserta.


Ringkas berkain sarung batik, namun tetap manis menawan.

Ada ibu dan bapa datang dengan anak kecil sambil memimpin, mendukung dan menggunakan kereta sorong. Anak kecil dua tahun yang sama bertanjak dengan bapa dan seorang nenek yang berkerudung sarung, paling menjadi tumpuan. Ada memakai selempang, tengkolok dan destar.

Peserta bukan saja dari sekitar Lembah Klang, bahkan sejauh Negeri Sembilan, Melaka serta ada juga dari negara jiran, Singapura, yang datang semata-mata kerana sarung. Pelancong asing turut teruja dan terpanggil untuk menyertai.


Sarung dilipat menjadi tanjak dan destar, pelengkap busana bangsawan suatu ketika dulu.

#songket #sarung #kainbatik #pakaianbudaya #selempang #kerudung #gayapakainsarung

595 views

© 2017 Riaseri. Registration on or use of this site constitutes acceptance of our Terms of Service and Privacy Policy. Email us at myriaseri@gmail.com for any enquiries. Kuala Lumpur, Malaysia. 

  • White Facebook Icon
  • White Twitter Icon
  • White Instagram Icon

Ikut kami di: