• Rashidah Ibrahim

Tip Kembara - Peka dan Ambil Beratlah Mengenai Waktu Penerbangan. Kisah Tertinggal Pesawat.


Pergi melancong kenangan tidak semestinya semua indah, cabaran dan dugaan menjadi rencah resipi sesuatu perjalanan@pengembaraan. Kalau tidak suka kepada cabaran dan susah payah di perjalanan, lupakan niat nak berpergian melihat negara orang.



Sewaktu mula-mula berhadapan pengalaman tertinggal pesawat pulang ke Kuala Lumpur dari New Delhi, India, terasa geram juga. Tidak hingin langsung nak ingat kisahnya. Terasa bodo sangat. Hilang mood untuk menulis, maka seluruh pengalaman trip sekitar 5-6 hari itu, belum saya detailkan.


Lama-lama apabila terkenang semula, itu pula yang menarik untuk diperkatakan. Sebetulnya jika tiada berlaku sebarang dugaan, apalah sangat nak diungkapkan? Perjalanan menjadi besye besye@biasa sahaja. Monotonus@membosankan, kata orang. Tiada apa sangat nak diceritakan. Kalau novel, tiada unsur suspen, klimak dan antiklimak.


Anggaran lima tahun sudah berlalu. Ini adalah trip pertama yang saya tanggung sendiri perbelanjaan, sepenuhnya. Sebelum itu, melihat negara orang hanya sewaktu keluar negara kerana urusan tugas.


Kali ini benar-benar nak melancong. Trip pertama berbayar, tidak pula peka untuk memilih pengurusan pakej, main ikut mencelah je. Ikut kawan. Ketika itu saya penuh yakin dan tawakal saja. Tanpa mengambil tahu siapakah pengendalinya. Berpengalaman ataupun tidak.



Ini kisah pengembaraan kami ke India, turutan destinasi NewDelhi-Kashmir-Agra-New Delhi. Mengapa pilih India, sebab kawan saya ketika itu nak ke sana. Disebabkan dalam lingkungan bajet dan tidaklah terlalu tinggi, makan setujulah nak ikut. Harga sekita RM4 K.

Sebenarnya bukanlah suka sangat ke sana, tetapi disebabkan keterujaan nak melihat Taj Mahal yang tersohor sebagai lambang cinta seorang raja terhadap permaisurinya. Apa jadi dengan harapan nak melihat Taj Mahal? Ermm, nanti saya kisahkan dalam tajuk lain.


Nota penceritaaan saya mengenai trip ke India ni, tunggang terbalik, tak ikut turutan. Mana yang ingat, yang tu saya tulis dulu, lain tempat lain tajuk ya. Kalau dirangkumkan, nanti muntah hijau pula anda nak menghadapnya, panjanga sangat.



Sebut mengenai ke India ni, paling ingat adalah semasa stranded di New Delhi. Sewaktu tu, kami ditempatkan hotel di SK rown Park.


Kenangan stress di hotel ini menunggu pihak pengurusan trip menguruskan tiket penerbangan pulang sewaktu kami stranded di New Delhi. Satu hari satu malam menunggu di hotel ini. Hangat hati tok sah nak katalah. Gara-gara ketua tersilap melihat jadual pulang, kami terlewat sampai di lapangan terbang. Sampai-sampai je pesawat sudah berlepas ke Kuala Lumpur.


Banyak pula kalau nak dikisahkan.


Pengajarannya, pastikan setiap peserta diberikan tiket dan masing-masing hendaklah peka terhadap waktu penerbangan yang tertera. Dalam kes ini, ada seorang was was ketika pengurus trip membuat anggaran waktu untuk berada di lapangan terbang, tetapi kawan tu tak beritahu kepada sesiapa pun. Dia fikir, pengurus mestilah lebih tahu.



Difahamkan, pengurus grup tersilap mengikut waktu jam di Malaysia untuk berada di lapangan terbang. Terdetik di hati, ketua ni pernah ke bawa grup pelancong sebelum ni? Persoalan yang belum terjawab. Apa pun, tak apalah asbab kesilapan itu, rezeki kami dapat berada dua malam lagi di New Delhi.


Ada yang dapat tiket penerbangan pulang lebih awal dan ada yang dapat tarikh dua hari kemudian. Siapa yang ada urusan mendesak, diberikan tiket penerbangan awal. Maka kami yang free tidak terikat dengan apa-apa jadual, duduklah menunggu hari untuk pulang.



Sehari semalam di hotel ini. Masuk lewat petang, keluar waktu jam 12 tengah hari esoknya. Ketua pagi-pagi lagi sudah keluar untuk membeli tiket baru. Lama kami menunggu dan menunggu. Duduklah dilobi ini, tidak ke mana-mana.


Sementara tak ada apa nak dibuat, dengan kamera di tangan, tembaklah segenap sudut hotel. Menarik juga, suka dengan reka bentuk dalamanya. Menarik, mengenai tangganya, tidak dibina tersorok, sebaliknya tersergam di satu sudut ruang legar, dengan rekaan spiral.


Duduk bangun, duduk bangun, orang yang ditunggu tak balik balik, sampai kami kelaparan. Mujurlah dapat makan tengah hari di restoran hotel. Tu pun dah pukul 2.00 lebih.


Sambil menunggu, sempat juga meneliti akhbar tempatan, hidustantimes. Dapatlah baca sekali lalu tajuk tajuk penting. Ada berita mengenai kabus tebal yang sedang melanda ketika itu. Kabus itu jugalah yang membuat kami tersadai di Kashmir sehari, kerana pesawat tidak boleh terbang pada hari itu. Banyak kejadian yang terhalang dalam pengembaraan kami kali itu.


Sekitar jam 5 petang barulah urusan mendapatkan tiket selesai. Kami diberitahu, jadual penerbangan adalah pada esok petang. Terpaksa menunggu sehari lagi di New Delhi. Berpindah pula ke hotel lain, dapatlah menginap disebuah hotel lagi. Kisah di hotel itu nanti saya tulis kemudian ek.





Kapsyen ala majalah Anjung Seri yang sudah menjadi arwah:


Rakaman gambar tertumpu pada ruang lobi. Bertemakan warna tanah, suasana ruang legar tampil berlainan dengan tangga melingkar@spiral yang terdedah di sudut ruang legar.

Rel pemegang melengkung daripada krom ditambahkan jeriji menegak, daripada lantai bawah sampai ke tingkat atas, bagi fungsi keselamatan.


Tema suasana, klasik moden. Klasik dari segi pilihan bahan kayu dan fabrik sofa, moden menerusi krom tangga spiral dan penghadang kaca lut sinar di sepanjang kaki lima bilik tingkat atas.






Fasad hadapan Hotel SK crown Park, bertangga batu di luar pintu masuk utama.


Nota pengalaman Editor, Rashidah Ibrahim.

0 views

© 2017 Riaseri. Registration on or use of this site constitutes acceptance of our Terms of Service and Privacy Policy. Email us at myriaseri@gmail.com for any enquiries. Kuala Lumpur, Malaysia. 

  • White Facebook Icon
  • White Twitter Icon
  • White Instagram Icon

Ikut kami di: