• Rashidah Ibrahim

Ular Tercacak di Depan Mata


Sekeluarga tinggal tidak jauh dari Sungai Pahang, di Jerantut. Membesar sewaktu bekalan air paip belum ada, maka sungailah menjadi sumber air yang utama ketika itu. Sekitar setengah abad yang lalu, air sungai masih bersih. Itulah punca untuk mendapatkan sumber minuman dan makanan protin daripada ikan air tawar.


Sebagai orang kampung, ayah dan atuk adalah petani. Sungai adalah tempat utama mereka mencari makan. Menurut ayah, ketika mula-mula berhijarah ke Jerantut, jalan darat belum ada. Untuk pergi ke bandar, dari kampung mereka menaiki bot sampai ke jeti Batu Embun, dan kemudian berjalan kaki ke bandar mengambil masa berjam-jamPada mulanya mereka hanya menggunakan sampan, apabila berkemampuan ayah membeli bot untuk menyingkatkan perjalanan. Lama juga mereka menggunakan sampan sebelum mampu membeli bot. Ayah kepada ayah iaitu Atuk Ali, bijak menangkap ikan. Dia menganyam sendiri perangkap ikan yang dinamakan temila, daripada buluh. Mereka juga menggunakan jala dan jaring untuk menangkap ikan.

Ketika itu ayah dalam usia dua puluhan, sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak. Menurut ayah, dia kerap mengikut atuk menangkap ikan. Satu cerita yang tidak boleh saya lupa mengenai kisah pengalaman ayah adalah mereka diancam oleh seekor ular alir di sungai sewaktu menangkap ikan.

Ketika itu sampan mereka masuk ke kawasan anak sungai yang sempit. Tiba-tiba mereka terperangkap, di sebelah depan ada kayu terhalang dan sebelah belakang tercacak seekor ular alir, seolah menunggu masa untuk mematuk.

Masing-masing terpaku, tidak tahu hendak berbuat apa. Hendak bergerak ke depan tidak boleh kerana dihalang kayu, ke belakang dihalang oleh ular berkenaan. Serentak itu mereka teringat pesanan orang tua-tua, jangan melawan jika berdepan dengan jenis ular itu. Lantas mereka mengaku tidak mahu melawan dan memohon supaya ia berundur.

"Kami tak lawan kamu, pergi..tolonglah pergi dari sini." Begitulah ucapan mereka sambil berdoa supaya Pak Panjang itu beredar. Memang betul, seketika kemudian ular itu menurunkan kepalanya yang sedang berdiri tegak lalu berenang menghilangkan diri, bagai memahami kata-kata ayah.

Maka terselamatlah atuk dan ayah daripada ancamana ular alir pada hari itu. Menurut mitos ular berkenaan asalnya adalah manusia, mungkin bertukar rupa menjadi haiwan kerana sumpahan. Bahkan jika diajak beradu tenaga atau tepatnya berlawan bersilat, ia mampu mendengar dan beraksi menunjukkan kehandalan seakan manusia. Wallahualam..

Gambar ini bukan di Sungai Pahang, tetapi jauh di Wilayah Kratie Kemboja. Ini sebahagian lagi rakaman kenangan sewaktu kami bersama pasukan Sukarelawan Salam yang mengadakan aktiviti kebajikan di sana.

Dalam aktiviti sampingan, semua peserta diberi peluang menaiki sampan sekadar untuk menimba pengalaman.

Rupanya-rupanya masih ada penduduk kampung di sana yang menaiki perahu dalam kegiatan seharian, sama ada untuk pergi dari satu kampung ke kampug yang lain dan menangkap ikan.

Berada di sini teringat kisah pengalaman ayah sewaktu di kampung. Di sebabkan kami tidak tinggal di seberang sana sungai, maka kami peringkat anak-anak tidak menggunakan sampan untuk ke sekolah dan sebagainya.

Namun semua penduduk seberang ketika itu menggunakan sampan atau perahu untuk menyeberangi sungai Pahang. Kini tidak lagi kerana jalan darat sudah ada menghubungkan kawasan seberang dengan jalan utama yang membawa mereka berulang-alik ke bandar.

Lihat gambar, begini juga sampan yang penduduk kampung kami gunakan pada zaman dahulu. Kedalaman perahu cetek sahaja. Saat tubuh bergoyang, sampan senget dan seakan ingin terjatuh ke dalam air...tentunya mencemaskan bagi mereka yang tidak biasa menaikinya.

Boleh bayangkan kesusahan anak-anak sekolah yang menaiki sampan untuk pergi belajar, tetapi bak kata pepatah bagi mereka, alah bisa tegal biasa!

Menaiki sampan di Wilayah Kratie Kemboja, teringat suasana kampung sendiri pada zaman lampau iaitu setengah abad yang lalu.

Pernahkan anda melalui pengalaman seperti ini?

Jika suka kisah ini silakanlah share! Biar budak-budak sekarang tahu bagaimana susahnya kehidupan pada zaman dahulu.


© 2017 Riaseri. Registration on or use of this site constitutes acceptance of our Terms of Service and Privacy Policy. Email us at myriaseri@gmail.com for any enquiries. Kuala Lumpur, Malaysia. 

  • White Facebook Icon
  • White Twitter Icon
  • White Instagram Icon

Ikut kami di: